Berita

Tiada pembangunan di kolam takungan KL- Shahidan

- Diterbit 22 Februari 2022 11:58 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan bahawa tiada sebarang projek pembangunan komersial atau penukaran hak milik berkenaan enam kolam takungan kepada pihak swasta di ibu negara.

Jelasnya, pihaknya mendapati pembangunan hanya berlaku di pinggiran kolam takungan iaitu di Kolam Wahyu dan Kolam Delima dan ia tidak melibatkan kolam tersebut.

“Tidak ada kolam takungan yang diberi kelulusan untuk membuat apa-apa pembangunan, yang ada (pembangunan) adalah di pinggiran namun ia tidak menjejaskan kapasiti air yang ada itu berubah

“Tetapi daripada enam kolam ini, ada yang tidak terlibat dengan sebarang pembangunan, ada yang terlibat dengan pembangunan, namun kelulusan itu telah dibatalkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi taklimat berkenaan Kolam Takungan di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWPKL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan Jabatan Perancang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sesi taklimat tersebut turut disertai empat Ahli Parlimen Kuala Lumpur iaitu Teresa Kok (Seputeh), Tan Kok Wai (Cheras) Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif Perancangan, Datuk TPr Sulaiman

Dua projek yang telah dibatalkan itu adalah melibatkan pembangunan di dalam kolam takungan iaitu di Kolam Taman Desa dan Kolam Batu 4 1/2.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, proses pemilikan tanah di pinggiran kedua-dua kolam takungan tersebut adalah dibawah kawalan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan dilakukan terus kepada pemaju tanpa melibatkan pihak ketiga.

Tambahnya, pihak DBKL hanya akan mengeluarkan Perintah Pembangungan (DO) kepada pemaju selepas mereka memperolehi kelulusan pembangunan daripada PTGWPKL.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa berlaku penukaran status kjolam takungan banjir bagi tujuan pembangunan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas