Berita

Arab Saudi isytihar 22 Februari sebagai hari penubuhannya

Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud|AKTIVITI di pameran Wadi Namar semperna penubuhan Arab Saudi|DUTA Arab Saudi di Malaysia Mahmoud bin Hussein Qattan|PERARAKAN kereta berhias meraikan era penubuhan Arab Saudi|LOGO penubuhan Arab Saudi|PAKAIAN tradisional penduduk Arab Saudi
- Diterbit 24 Februari 2022 1:55 AM MYT

KERAJAAN Arab Saudi mengisytiharkan 22 Februari setiap tahun sebagai hari cuti umum bagi memperingati penubuhan negara itu pada 1727 oleh Imam Muhammad bin Saud, bapa pengasas negara itu.

Pengumuman itu ditetapkan menerusi titah diraja yang dikeluarkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud menerusi laman Twitter rasminya sebagai memperingati hari Imam Mohammed bin Saud yang telah menubuhkan Diriyah sebagai sebuah negara kota autonomi pada 1727.

RAJA Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud

Menurut kenyataan dipetik itu, Baginda menghargai ulang tahun penubuhan negara yang diberkati ini pada 1727.

“Dan sejak tarikh itu sehingga ke hari ini, ia telah meletakkan asas kepada keamanan, kestabilan dan keadilan yang telah dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan diterima, serentak meraikan detik bersejarah itu dianjurkan majlis sambutan penuh meriah selama tiga hari sejak 22 hingga 24 Februari diraikan rakyatnya dengan pelbagai pengisian yang dapat dimanfaatkan semua.

Ia termasuk perarakan, persembahan opera dan udara, pantulan cahaya, ekspo dan pameran berlangsung di Arena Show, Riyadh.

“Malah turut berlangsung satu majlis perarakan dan persembahan secara besar-besaran dengan tema “Perjalanan pertama” di Wadi Namar, salah satu lokasi pelancongan di selatan Riyadh.

“Lebih daripada 3500 orang terdiri daripada artis, pemuzik, pelakon dan penyanyi terbabit dalam menjayakan persembahan dan perarakan berkenaan.

“Persembahan turut terbahagi kepada 10 babak dengan konsep lukisan panorama yang diinspirasi dari pebagai era penubuhan negara Arab Saudi sepanjang tiga dekad lalu.

“Persembahan dianjurkan juga disulami dengan persembahan puisi epik secara teaterikal dan muzikal. Pada majlis itu juga, Putera Raja Riyadh, Faisal bin Bandar Al-Saud turut mencemar duli,” kata kenyataan itu.

AKTIVITI di pameran Wadi Namar semperna penubuhan Arab Saudi
PAKAIAN tradisional penduduk Arab Saudi

Kenyataan itu turut menyebut, menubuhkan sebuah negara baharu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia dibina dengan keringat, darah dan deraian air mata.

“Selepas 300 tahun Kerajaan Arab Saudi yang ada memerintah, kini ia terus membangun dengan pesat. Bahkan kemudahan yang ada hari ini dapat dilihat banyak memudahkan masyarakat Arab Saudi itu sendiri. Malah ekonomi juga berkembang pesat.

“Meraikan majlis sedemikian membantu membina identiti negara, walaupun asal-usulnya yang sederhana.

“Bandar Diriyah sehingga hari ini merupakan perlambangan kepada keazaman dan kebanggaan Saudi. Negara Saudi moden tidak lahir daripada revolusi anarki atau perjuangan kemerdekaan pasca kolonial, ia hanyalah kehendak rakyat tempatan yang menginginkan sebuah negara dan membinanya dari titik permulaan.

“Negara Saudi dilihat dengan kebijaksanaan negarawan keturunannya Imam Mohammed bin Saud, yang membentuk pakatan dan memimpin pertempuran demi mewujudkan negara baharu.

“Pengorbanan ini bukan sahaja dirasai oleh beliau, ia juga pengorbanan rakyat yang bersama berjuang kearah kemajuan negara ini.

“Perayaan ini patut disambut oleh rakyat Saudi yang mana penubuhan kerajaan ini telah mencapai lebih dari tiga abad demi mengekalkan sebuah negara yang damai dan harmoni,” kata kenyataan itu.

DUTA Arab Saudi di Malaysia Mahmoud bin Hussein Qattan

Sementara itu, Duta Arab Saudi di Malaysia, Mahmoud bin Hussein Qattan, menyifatkan sambutan Hari Penubuhan Arab Saudi ini berbeza dengan Hari kebangsaan negara itu pada 23 September 1932.

“Kalau dikira sambutan pada 23 September itu adalah untuk negara Arab Saudi moden. Sebenarnya ia bermula pada abad ke-18 iaitu pada tahun 1727. Itu adalah permulaan pertama penubuhan negara Arab Saudi.

“Sejarah kami sangat mendalam. Kami ingin menunjukkan kepada seluruh dunia tentang sejarah negara kami. Tidak kiralah sama ada mereka di tanah air sendiri mahupun di perantauan.

“Jika dilihat di Malaysia konsep perpaduan digunakan tampuk pimpinan untuk menyatukan rakyat mereka. Hal ini penting untuk membuka minda generasi muda memperingati kewujudan perpaduan itu melalui sejarah dan nenek moyang mereka,” kata Mahmoud.

PERARAKAN kereta berhias meraikan era penubuhan Arab Saudi

Hari Penubuhan Saudi ini mengingatkan perjuangan Imam Mohamed bin Saud tentang hasratnya berjuang dengan kebenaran sejati yang ingin mencapai perpaduan.

LOGO penubuhan Arab Saudi

Perayaan ini menunjukkan pengorbanan, kebanggaan, kasih sayang yang patut dirasai oleh semua lapisan masyarakat. – WILAYAHKU

Foto: Sama Media

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas