Artikel

Tangani warga asing di pasar borong

PASAR Borong Kuala Lumpur perlu bersih daripada pekerja asing tanpa izin.
- Diterbit 11 Mac 2022 7:35 AM MYT

GEMPUR habis-habisan sehingga warga asing tidak berani lagi untuk menjejakkan kaki mencuri peluang berniaga atau bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) hingga mengganggu peniaga berlesen di dalam pasar berkenaan.

Juga lakukan pemantauan sepanjang masa untuk memastikan mereka tidak cuba meloloskan diri dengan pelbagai cara atau alasan mengaburi mata pihak berkuasa untuk dapat berniaga.

Ini harapan Adi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini bersungguh-sungguh menggempur peniaga asing yang terus bekeliaran di PBKL, seperti dilaporkan Wilayahku minggu lalu. Adi sokong usaha DBKL membanteras kelompok ini bagi membersihkan PBKL.

Sebenarnya DBKL telah melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras peniaga asing ini. Namun mereka tidak serik datang kembali. Ada sahaja muslihat dan cara mereka lakukan agar pergerakan mereka sukar dihidu oleh pihak berkuasa.

Semua tindakan dan operasi yang dijalankan oleh DBKL adalah sejajar dengan syarat yang ditetapkan dalam peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar Borong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2002. Peruntukan tersebut menetapkan warga asing tidak dibenarkan berniaga atau bekerja di dalam PBKL. Peraturan ini tidak berubah hingga kini.

Pada masa sama DBKL juga telah membekukan permohonan lesen baharu bagi premis perniagaan di sekitar Pusat Bandar Utara sebagai mengawal kegiatan warga asing yang didapati berniaga di kawasan tersebut.

Di samping itu, surat tunjuk sebab dan kompaun juga dikeluarkan kepada pemegang lesen yang mengambil pembantu atau pekerja bukan warganegara tanpa permit kerja yang sah. Ini pun satu masalah apabila warga tempatan sendiri memberi muka dan memberi ruang kepada warga asing. Mereka juga wajar diambil tindakan.

Bagi Adi, amat wajar sekali gerak gempur dan pemantauan dilakukan bagi menyisihkan peniaga asing yang tetap berdegil masih cuba menyusup ke pasar borong walaupun mengetahui ia tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim juga telah melakukan lawatan mengejut ke Pasar Harian Selayang (PHS) berikutan aduan orang ramai, terutama peniaga tempatan. Beliau telah memberi arahan tegas kepada DBKL untuk memastikan tiada peniaga asing berniaga sewenang-wenangnya di kawasan tersebut.

Walaupun pelbagai tindakan diambil kepada peniaga asing sebelum ini, nampaknya itu sama sekali tidak menakutkan mereka. Kerana itulah pihak berkuasa perlu membuat tindakan pantas, tegas dan tuntas, atau once for all, mengatasi masalah ini. Ia tidak seharusnya dibiarkan berlarutan.

Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehadiran peniaga dan pekerja asing ini berjaya dibendung. Pihak DBKL menguatkuasakan larangan warga asing berniaga atau bekerja di PBKL dan PHS untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan yang terjejas atau hilang pekerjaan akibat COVID-19 untuk bekerja di dalam sektor tersebut.

Warga asing seharusnya tidak lagi menjengah ke PBKL dan PHS setelah pelbagai amaran dan tindakan diambil. Namun memetik laporan Bernama baru-baru ini, PBKL dan PHS kembali menjadi tumpuan warga asing menjalankan perniagaan secara haram.

Kebanyakan mereka dilihat menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barang basah di PHS, juga di deretan bangunan dua tingkat berdekatan PBKL. Kawasan ini seolah-olah sudah menjadi ‘perkampungan’ mereka kerana ramainya yang bertumpu ke situ.

Sebenarnya kawasan PBKL dan PHS sebelum ini sudah beberapa kali digempur oleh pihak berkuasa dan pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) akibat kes jangkitan COVID-19 yang tinggi tahun lalu di kalangan warga asing.

Namun mereka tetap keras kepala datang berniaga. Pada Adi, ini menampakkan kedegilan dan terang-terang mencabar pihak berkuasa. Bermacam helah mereka gunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa seperti menghilangkan diri ketika pemeriksaan, dan datang balik apabila pemeriksaan selesai.

Ada pula pemegang lesen warga tempatan dikatakan membenarkan peniaga asing berniaga di gerai mereka dengan bayaran tertentu. Apabila pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa, mereka segera berada di dalam gerai seolah-olah mereka yang menjalankan perniagaan. Selepas itu hilang dan penyewa warga asing mengambil tempat.

Ada pula peniaga asing yang bertindak mengubah lokasi perniagaan ke bangunan kedai yang terletak di antara sempadan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tujuannya mengaburi mata pihak berkuasa. Namun Adi percaya taktik ini semua sudah ‘di dalam poket’ pihak berkuasa.

Dalam hal ini Adi sarankan pihak DBKL dan MPS menjalankan operasi bersama dan saling bekerjasama bagi memastikan mereka yang terlibat dengan kegiatan ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Peniaga warga asing ini boleh hidup atau survive tentulah kerana sokongan pembeli. Ramai pengunjung ke PBKL dan PHS, majoritinya warga tempatan, bersedia membeli barang jualan peniaga asing. Mungkin harganya lebih murah. Namun sikap dan minda pembeli ini perlu diubah.

Sebaliknya sokonglah peniaga tempatan, belilah daripada mereka. Mereka ini membayar lesen untuk berniaga berbanding peniaga asing yang tidak membayar apa-apa, berniaga secara percuma dan bertapak di mana-mana mereka suka.

Ramai peniaga tempatan merungut perniagaan mereka terjejas akibat saingan peniaga asing. Janganlah sampai mengutamakan perniaga asing sehingga peniaga tempatan menerima akibat.

Namun malangnya, terdapat pula warga tempatan yang tidak jujur, menyewakan lesen kepada peniaga asing dengan bayaran tertentu. Perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab. Lesen diberi untuk mereka mencari rezeki tetapi mengambil jalan mudah memperoleh wang dengan meyewakannya.

Peniaga seperti ini tidak harus dikasihani dan perlu diambil tindakan tegas. Batalkan sahaja lesen kerana ternyata mereka bukan sebenar-benarnya jujur mahu berniaga tetapi memperoleh pendapatan atas angin.

Sebaliknya berilah lesen kepada yang benar-benar mahu berniaga sebagai sumber pendapatan. Jangan dibiarkan peniaga yang hanya nama tertera di atas lesen tetapi tidak beroperasi. Sikap ini merosakkan nama baik peniaga lain yang patuh kepada syarat pemberian lesen.

Adi juga ingin cadangkan pihak berkuasa jika melakukan operasi, janganlah datang beramai-ramai dengan lori atau beruniform sehingga segera menarik perhatian ramai. Akibatnya peniaga warga asing sempat lari menyembunyikan diri.

Buatlah pemantauan sepanjang masa seolah-olah seperti salah seorang pengunjung pasar misalnya. Perlu diingat peniaga asing ini juga ada informer yang memberi maklumat mengenai operasi pihak berkuasa. Kerana itulah kerap kali mereka dapat memboloskan diri ketika operasi dijalankan.

Dalam usaha mencapai matlamat membersihkan PBKL dan PHS daripada dicerobohi peniaga asing, tidak harus ada tolak ansur. Jangan dibiarkan isu ini berterusan tanpa nokhtah.

Adi–Sokong peniaga tempatan – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas