Selebriti

Syafiq Kyle rela lebam demi filem Siku 12

Hafiz Nafiah.||
- Diterbit 28 Oktober 2022 2:48 AM MYT

PELAKON Syafiq Kyle menganggap sudah menjadi lumrah apabila seseorang pelakon mengalami kecederaan fizikal demi menjayakan watak aksi.

Demi filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, Syafiq akui mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan serta kepala benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak,30, kecederaan kecil yang dialaminya itu adalah tanda dirinya sentiasa memberikan yang terbaik serta sanggup mencabar diri dalam filem yang mempertaruhkan seni silat Siku 12.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dulu (PKP), saya memang menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium.

“Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka itu,” katanya.

SYAFIQ Kyle bersama Penerbit Eksekutif filem Siku 12, Hafiz Nafiah.

Berkongsi cabaran, kata Syafiq, dia bersyukur memiliki asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai yang diminati sejak dulu.

“Selain ada asas seni Muay Thai, saya juga berlatih dengan guru seni silat Siku 12 dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran.

“Sudah namanya filem aksi, saya juga mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan dan kepala juga benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang,” ujarnya.

ZAHIRIL Adzim bawa watak utama bersama Syafiq Kyle dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka

Dalam filem genre aksi arahan Azhari Zain itu, Syafiq bergandingan dengan aktor terkenal, Zahiril Adzim selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar serta dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Mengenai gandingan dengan Zahiril pula, kata Syafiq, ia kali pertama dia bekerjasama dengan pelakon senior itu.

“Zahiril juga ada asas dalam seni silat dan saya juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian berlakon dengannya.

“Dia bukan saja pelakon senior yang berpengalaman tetapi juga kelakar ketika di lokasi,” ujarnya.

Antara cabaran lain, kata Syafiq, dia perlu menguasai dialek Kedah untuk menjiwai watak utama sebagai Atid dalam filem itu.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka yang baru sahaja ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini mengisahkan Atid dan A Wut berketurunan Siam adalah dua sahabat baik tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.

Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai, apatah lagi, pertandingan Muay Thai dianjurkan selepas padi dituai dengan terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun.

Namun, kerana rasa iri hati dan sanggup mengkhianati, akhirnya telah menyebabkan hubungan persahabatan musnah.

Apa kesudahannya, tonton filem Filem Siku 12: Langkah Derhaka di pawagam sekarang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas