Selebriti

Siti ramal Aisha Retno, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Kugiran Masdo dominasi AJL38

- Diterbit 3 Mac 2024 10:20 AM MYT

DEBARAN siapa bakal menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) malam ini semakin terasa.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meramalkan  empat nama yang bakal menjuarai AJL38.

Menurut Siti, lagu Sutera nyanyian Aisha Retno, Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu), Ernie Zakri (Astana) dan Kugiran Masdo (Inilah Jalannya), bakal mendominasi anugerah berprestij itu.

“Untuk buat ramalan, agak sukar sebab kena tonton terlebih dahulu hari persembahan.

“Penjurian juri itu berbeza-beza. Kalau dari ramalan dan pilihan saya, saya rasa lagu nyanyian Aisha Retno (Sutera) ada potensi.

“Begitu juga dengan lagu Aina Abdul (Biar Mati Rasa Itu) dan Ernie Zakri (Astana) yang masing-masing ada kekuatan.

“Satu lagi lagu adalah, Inilah Jalannya, nyanyian Kugiran Masdo yang ada kekuatan tersendiri,” ujarnya.

Siti juga akui Kugiran Masdo sebagai satu kumpulan muzik yang mampu memberikan kejutan.

“Masdo mungkin akan buat kejutan sebab karya dan band itu pun, macam ada ‘sesuatu’ juga,” katanya.

Siti ditemui di Majlis Pelancaran Infaq Ramadan: Semarak Cinta Ramadan dan Yayasan Nurjiwa yang berlangsung di Bamboo Hills, Kuala Lumpur, pada Sabtu. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas