Sukan

Sistem kiraan 15 mata diwajibkan bermula 1 Februari 2024 – ISTAF

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Disember 2023 1:40 PM MYT

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menegaskan bahawa pelaksanaan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa adalah wajib bermula 1 Februari tahun depan.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata badan induk antarabangsa berkenaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan garis panduan baharu itu.

“Mana-mana pihak atau persatuan yang enggan menggunakan perubahan ini akan diberi amaran keras dan jika terus berdegil akan dinasihat. Namun, sekiranya ia berterusan (mereka) akan berdepan tindakan daripada ISTAF.

“Semua pengadil ISTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ASTAF) juga diarahkan agar mematuhi peraturan baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem kiraan baharu itu diluluskan semasa mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia ke-36 Piala Raja Thai 2023 pada 15 Julai lepas.

Menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, regu pertama yang meraih mata ke-17 akan muncul pemenang.

Selain itu, setiap regu juga kini memperoleh satu servis sahaja berbanding tiga sebelum ini bagi semua pertandingan di dalam dan luar negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas