Artikel

Siang mengemis, malam tidur di hotel

- Diterbit 9 Oktober 2023 2:34 AM MYT

HIDUP seperti sumpah-sumpah (chameleon) yang boleh menukar warna kulit menurut keperluan dan kesesuaian.

Mampu menonjolkan diri dalam bentuk lain, mengelak daripada dikenali dan mudah menyelamatkan diri dalam keadaan genting.

Inilah perbandingan yang Adi anggap sesuai terhadap warga Arab, dikatakan dari Syria dan Palestin yang menjalani kehidupan ‘dua muka’ di negara ini. Memetik laporan media, mereka menjadi pengemis di bandar raya Kuala Lumpur pada siang hari, bermula lebih kurang pukul 4 petang.

Pada malam hari, setelah selesai kegiatan mengemis sehingga pukul 2 pagi, mereka memasuki hotel untuk berehat dan tidur. Ini menampakkan kehidupan sebenar mereka yang selesa dan mewah hasil mengemis.

Pada hari tidak mengemis, mereka menampilkan diri sebagai pelancong, tinggal di hotel-hotel hebat dan makan di restoran makanan segera bersama keluarga.

Mungkin juga mereka pada asasnya ada wang tetapi sengaja minta sedekah untuk menambah pendapatan.

KEGIATAN mengemis terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, memberi imej kurang baik untuk negara. – Gambar hiasan

Kemunculan mereka di siang hari menjadi ‘pengemis jalanan’ mengharapkan simpati orang ramai di beberapa kawasan tumpuan ramai di ibu kota. Antaranya Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang, yang memang dikenali sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Selain itu kawasan lain yang menjadi ‘jajahan’ mereka ialah Jalan Hang Tuah, Jalan Masjid India, Pasar Seni dan Jalan Petaling.

Mereka dikatakan bergerak sendiri, tidak dikongkong oleh sindiket. Apa yang diperoleh adalah untuk diri sendiri.

Mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain, menukar lokasi apabila sudah lama berada di lokasi tertentu. Tempat baharu dan ‘mangsa’ baharu perlu dicari untuk memastikan memperoleh pendapatan berterusan, serta lebih banyak laba dapat dikaut.

Langkah ini juga untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengelakkan daripada dikesan jika berada di sesuatu tempat terlalu lama. Benarlah mereka seperti sumpah-sumpah, menukar cara operasi dan lokasi operasi menurut kesesuaian.

Tumpuan mereka ialah restoran, kawasan yang padat dengan orang ramai, malah kelab malam juga mereka terjejah. Bagi Adi mereka ini tidak malu walau pergi ke mana jua asalkan memperoleh wang.

Terdapat pengemis yang membawa bersama anak kecil untuk meraih simpati dan mendakwa mereka berasal dari Palestin atau Syria. Rakyat Malaysia yang pemurah biasanya akan simpati dengan penampilan mereka dan tidak lokek menghulurkan wang,
apatah lagi jika mendakwa dari Palestin. Orang ramai simpati nasib rakyat Palestin yang dicengkam Yahudi.

Memang sangat mengganggu jika seseorang sedang makan atau membeli-belah tiba-tiba didatangi peminta sedekah. Ada yang tidak jadi makan atau membeli. Tetapi ada juga yang menghulur wang agar tidak diganggu.

Menurut peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kehadiran pengemis warga Arab di kawasan berkenaan adalah pemandangan biasa. Mereka menjadikan orang ramai yang membeli-belah di kawasan tersebut sebagai sasaran.

Tentunya perbuatan tersebut menjengkelkan orang ramai yang hendak membeli-belah.

Difahamkan, warga Arab yang melibatkan diri meminta sedekah ini memasuki Malaysia sebagai pelancong. Setibanya di sini mereka pantas menjalankan aktiviti mengemis. Peraturan menetapkan rakyat asing yang memasuki negara ini sebagai elancong tidak boleh bekerja, apatah lagi mengemis.

Namun Pak Arab ini tidak peduli peraturan ini. Akibatnya semakin ramai mengemis. Operasi Anti Pengemis yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati secara keseluruhannya wujud pertambahan dalam kalangan pengemis sing.

Menurut statistik, 560 pengemis ditahan dari Januari hingga Ogos tahun ini. Sejumlah besar daripadanya adalah pengemis asing iaitu 380 orang berbanding pengemis tempatan 180 orang.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding tahun 2022 di mana sejumlah 98 pengemis asing ditahan berbanding 136 pengemis tempatan.

Adi bimbang arah aliran ini akan berterusan. Sejak sekian lama memang banyak laporan mengenai ramai warga asing mengemis, bukan setakat warga Arab. Operasi yang dijalankan masih belum dapat membanteras kegiatan mereka sepenuhnya.

Ciri sumpah-sumpah menyebabkan pihak berkuasa menghadapi masalah bertindak. Adi difahamkan, mereka bukan sahaja bijak menukar lokasi operasi, tetapi juga pandai ‘menghilang diri’.

Ini dilakukan dengan kembali ke negara asal setelah beroleh pendapatan lumayan. Setelah beberapa waktu tertentu, mereka muncul kembali meneruskan operasi. Atau mungkin juga dalam waktu ‘bertenang’ itu mereka sebenarnya mencuba nasib di
negara lain pula. Namun ia mungkin tidak semewah di negara ini dan di ibu kota Kuala Lumpur.

Rakyat Malaysia pada dasarnya pemurah. Sayangnya kebaikan rakyat Malaysia ini diambil kesempatan untuk mengaut untung.

Kebaikan mereka bagai dieksploitasi oleh pengemis yang sentiasa sahaja menghulur tangan mengharap sumbangan, tidak kira pengemis tempatan atau luar.

Sedar atau tidak, sikap pemurah rakyat Malaysia ini sebenarnya menggalakkan percambahan pengemis. Ini kerana apabila pengemis menyedari rakyat Malaysia memang suka menghulur bantuan, mereka akan menjadi lebih galak mengemis.

Ekoran itu juga jumlah pengemis bertambah. Bukan sahaja dari negara Arab, tetapi juga dari beberapa negara lain yang turut mencuba menumpang nasib.

Mereka membawa bersama kawan atau ahli keluarga untuk mengemis sehingga ada sahaja kelibat mereka di tempat tumpuan awam.

Pada pandangan Adi, kegiatan mengemis terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, memberi imej kurang baik untuk negara.

Orang luar akan beranggapan Malaysia ialah lokasi mengemis.

Tanggapan negatif ini boleh menyebabkan pelancong tawar hati datang ke Malaysia.

Ini khususnya bagi pelancong luar yang pernah ‘diganggu’ oleh pengemis. Maklum pengemis ini kadangkala ada yang ‘garang’.

Apabila tidak diberi wang mereka marah-marah, malah ada yang bersikap agresif hingga menakutkan orang ramai.

Oleh itu pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan polis perlu memantau kegiatan pengemis ini melalui operasi bersepadu serta bertindak tegas terhadap mereka.

Ini khususnya terhadap warga asing yang masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi menyalah guna status berkenaan. Tahan sahaja mereka yang melanggar peraturan masuk ini dan hantar pulang ke negara asal.

Adi juga berharap tindakan sama diambil terhadap pengemis tempatan. Letakkan mereka di tempat-tempat pemulihan pengemis jika perlu dan ajar mereka berdikari. Sampai bila hendak mengharap belas ihsan dengan mengemis.

Ibu kota bukan sahaja perlu bersih dan persekitaran indah.

Tetapi ia juga harus bersih daripada kegiatan mengemis yang boleh mencacatkan pemandangan, apatah lagi jika melibatkan warga asing yang ‘mencari makan’ di negara ini dengan cara yang salah.

Adi—Kerap dihampiri pengemis

– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas