Berita

Shahidan garis tiga KPI utama 100 hari

SHAHIDAN (tengah) bersama-sama pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) selepas sesi penggulungan peringkat kementerian di parlimen pada Khamis.
- Diterbit 24 September 2021 8:18 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menggariskan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menjayakan wawasan 100 hari Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Dalam hantarannya di Facebook, beliau berkata, tiga strategi utama yang menjadi fokus kepadanya mencapai wawasan tersebut.

“Strategi pertama adalah memperkukuh dan memperluaskan skop jaringan keselamatan sosial, yang kedua, meningkatkan keupayaan pemilikan dan bantuan perumahan kepada warga kota golongan B40 dan ke bawah.

“Dan yang ketiga adalah memperkukuhkan budaya keprihatinan Warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Tegas Shahidan, setiap strategi ini akan disusuli dengan program-program yang pastinya memanfaatkan setiap warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau turut mengingatkan mengenai kepentingan masa dan pada masa sama menyeru kepada semua warga KWP untuk menunaikan tanggungjawab demi memastikan cadangan yang digariskan tersebut dicapai.

“Terima kasih Ketua Setiausaha (KSU) KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar; Timbalan KSU Perancangan & Pembangunan, Datuk Che Roslan Che Daud; Timbalan KSU Pengurusan & Sosio Ekonomi), Datuk Parang Abai@Thomas serta warga kementerian yang terlibat.

“Masa itu emas. Marilah kita tunaikan kewajipan kita semua dan memastikan cadangan 100 hari KPI yang telah dipersetujui dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas