Berita

Penduduk PA Seri Terengganu tuntut pembangunan semula

GULAM MUSZAFFAR bersama beberapa penduduk terlibat berbincang selepas melihat kawasan sekitar PA Seri Terengganu yang mempunyai masalah infrastruktur.
- Diterbit 24 September 2021 7:30 AM MYT

KEHADIRAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menerusi Program Turun Padang (TUPA) sangat ditunggu-tunggu penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Terengganu, Kuala Lumpur.

Kata Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, penantian tersebut berikutan penduduk terlibat mahu projek pembangunan semula di lokasi berkenaan yang dijanjikan belasan tahun lalu, diteliti semula.

“Datuk Seri yang meninjau Pangsapuri Melur, Bandar Baru Sentul kemudiannya bergerak ke PA Seri Terengganu dan melihat keadaan persekitaran termasuk kerja-kerja pendawaian serta naik taraf longkang.

“Kehadiran beliau mendapat perhatian penduduk, yang kemudiannya menuntut supaya isu pembangunan semula diteliti kembali.

“Penduduk yang tidak mendapat pampasan turut menghantar memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan meminta ‘janji’ ditunaikan. Selain itu, mereka turut meminta penyelenggaraan beberapa infrastruktur termasuk lif,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Ujarnya, susulan daripada itu, Shahidan mengarahkan kementeriannya menilai kembali projek pembangunan semula yang dirancang oleh pihak swasta.

Gulam Muszaffar berkata, daripada jumlah penduduk yang terlibat dalam projek, kira-kira 90 keluarga masih belum mendapatkan rumah ganti selain tidak diberikan pampasan sewajarnya.

Sebelum ini, dua daripada tiga blok yang dibina di PA Seri Terengganu itu dirobohkan bagi projek pembangunan semula sekitar belasan tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan pemaju diisytiharkan muflis manakala, penduduk terlibat tinggal ‘berserakan’ di beberapa lokasi ganti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas