Berita

Seri Paduka berkenan berangkat mengunjungi dua pusat teknologi canggih UAE

- Diterbit 2 Mac 2023 3:30 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengunjungi dua pusat teknologi canggih serta kemudahan pembuatan milik EDGE Group iaitu Abu Dhabi Ship Building dan CARACAL di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, EDGE Group adalah sebuah konglomerasi 25 syarikat milik kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah EDGE Group Faisal Al Bannai dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group Mansour Almulla serta barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi EDGE Group,” menurut catatan itu.

Menurut Istana Negara, turut mengiringi Al-Sultan Abdullah ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Bernama sebelum ini melaporkan baginda berada di UAE bagi lawatan khas tujuh hari hingga 1 Mac.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah dalam lawatan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas