Berita

Sektor rumpai laut New Zealand berkembang pesat menerusi pelan hala tuju baharu

- Diterbit 7 Oktober 2022 8:00 AM MYT

PELAN hala tuju, yang dilancarkan pada Jumaat, menggariskan cara New Zealand boleh mengembangkan sektor rumpai lautnya yang baru berkembang sebagai punca baharu keuntungan daripada segi ekonomi, alam sekitar, sosial dan budaya, lapor Xinhua.

Pembangunan bersama rangka kerja Sektor Rumpai Laut, yang dibiayai oleh Sustainable Seas National Science Challenge, menggariskan visi bentuk industri dan arah tuju sektor rumpai laut New Zealand pada masa hadapan. Ia menyediakan pelan hala tuju mengenai keutamaan dan jurang pengetahuan yang telah diperhalusi melalui kajian kes industri.

Visi itu termasuk memastikan ramai orang terlibat dalam sektor rumpai laut, membangunkan produk bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan dan memanfaatkan alam sekitar menerusi pertanian mampan.

Rumpai laut menawarkan peluang yang menarik untuk New Zealand, kerana ia dapat menghasilkan rangkaian produk, daripada makanan dan baja sehinggalah sebagai pelindung kulit daripada matahari dan nutraseutikal. Beberapa syarikat negara itu mula menternak rumpai laut secara komersial, dan ramai lagi dalam peringkat perancangan.

Kini industri dan syarikat individu perlu menggunakan rangka kerja itu mengikut keperluan mereka, memperhalusinya mengikut keperluan masing-masing, kata Rob Major, saintis marin di Cawthron Institute, sebuah organisasi besar sains di New Zealand, yang bersama-sama mengetuai projek Sustainable Seas Challenge.

Nigel Bradly, Ketua Pegawai Eksekutif EnviroStrat, yang turut mengetuai projek itu, berkata ini membolehkan para saintis mengenal pasti dan mengutamakan peluang untuk merealisasikan visi menjadikan rumpai laut sebagai penyumbang utama kepada ekonomi New Zealand, serta menyokong ekosistem, komuniti dan budaya yang berkembang maju. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas