Berita

Sehveetrra cipta kejutan untuk layak ke pusingan keempat Kejohanan Skuasy Remaja Dunia

- Diterbit 19 Julai 2023 2:30 PM MYT

PEMAIN muda wanita negara, K. Sehveetrra mencipta sensasi untuk menyertai Aira Azman pada pusingan keempat Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 di Melbourne, Australia, hari ini.

Selain itu, Joachim Chuah turut melangkah ke pusingan keempat kategori lelaki pada kejohanan enam hari yang bermula semalam.

Ketika Aira dan Joachim menepati jangkaan tetapi pemain berusia 18 tahun, Sehveetra, yang mencuri tumpuan dengan menewaskan pemain New Zealand, Sophie Hodges 11-2, 12-10, 12-10 untuk berdepan dengan Amina Orfi pada pusingan keempat selepas pemain Mesir itu mengalahkan pemain Kanada, Ocean Ma, 11-4, 11-2, 11-1.

Aira tidak berdepan sebarang masalah untuk menyingkirkan pemain Amerika Syarikat, Caroline Eielson 11-8, 11-1, 11-7 pada pusingan ketiga dan akan menentang pemain Hong Kong, Leung Ka Huen esok.

Kan Huen layak ke pusingan keempat dengan menewaskan Amelie Haworth dari England, 7-11, 11-2, 11-6, 12-10.

Dalam acara lelaki, Joachim mengatasi Oscar Curtis 11-4, 11- 2, 13-11 dan akan bertemu Kareem El Torkey selepas pemain Mesir itu dengan mudah mengalahkan wakil Kanada, Jacob Lin 11-4, 11-2, 11-4.

Namun luan pemain negara, Harith Daniel Jefri tersekat apabila tewas 4-11, 5-11, 7-11 kepada pemain pilihan kedua, Rowan Damming dari Belanda.

Sementara itu, jurulatih negara, Andrew Cross memberi amaran kepada pemain supaya berhati-hati dan tidak memandang remeh lawan masing-masing pada saingan seterusnya.

“Beberapa persembahan yang baik daripada Aira dan Joachim dan saya fikir Harith Daniel juga melakukannya dengan baik… tetapi kami masih belum selesai. Kita tengok esok. Mereka mempunyai beberapa pencabar yang sukar, terutamanya Joachim.

“Dia akan menentang pemain yang bagus esok, jadi dia mesti pastikan dia sudah bersedia. Aira mendapat seorang pemain Hong Kong, jadi itu tidak mudah),” katanya dalam klip audio yang dikongsi Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas