Berita

Malaysia bakal jadi hab umrah

KEPERLUAN dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa menjadi keutamaan. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Julai 2023 9:31 AM MYT

HASRAT kerajaan mahu ­menjadikan Malaysia sebagai hab umrah kepada semua jemaah dari rantau Asia Tenggara dilihat ­mampu memacu dan merancakkan industri pelancongan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan ­berkata Malaysia bukan sekadar negara transit ­kepada para jemaah yang ­ingin ­menunaikan ibadah ­umrah di Tanah Suci Makkah ­bahkan turut ­menawarkan pakej-pakej ­pelancongan berkonsepkan Mesra Islam (Muslim Friendly).

“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan pendapatan ­negara serta memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam yang berkembang dan ­dikenali dunia.

“Jadi, sayang jika ­lepaskan ­peluang ini kerana Malaysia ­sudah terkenal sebagai ­negara Islam, ­jika hab ini dijalankan ­maka pihak-pihak terlibat seperti ­agensi umrah ­tempatan juga boleh ­memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara,” ujar beliau ­inisiatif tersebut selari dengan salah satu tunjang Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bagi memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari.

Tambah Khairul Firdaus, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan ­membawa cadangan ini ke dalam kabinet dan mengenal pasti akta atau peraturan yang bersesuaian dalam melaksanakannya.

“Ia juga termasuk keperluan dan kebajikan yang perlu diberi perhatian terhadap mereka yang menunaikan umrah.

“Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing juga telah ­mengarahkan bahagian berkaitan untuk mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil persatuan.

“Ini diadakan bagi memastikan pelaksanaan cadangan Malaysia ­sebagai hab umrah berjaya ­dicapai serta cadangan tersebut dapat diperhalusi dan dipertimbangkan oleh MOTAC untuk ­pelaksanaan kelak,” jelas beliau berharap ­pemain industri dan orang awam terus memberi kerjasama dalam usaha kerajaan untuk ­memperkemaskan pengurusan umrah dan ­membantu perjalanan umrah yang lebih teratur.

Pada 14 Julai lepas, King Sing telah mewakilkan Khairul Firdaus ­bagi ­mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang bertujuan ­untuk ­membincangkan isu ­terkini dan ­cadangan dalam pengurusan ­umrah antara kementerian, ­agensi dan wakil Persatuan Pengendali Umrah.

Dalam mesyuarat ­tersebut, ahli Mesyuarat MKSU menyokong dan bersetuju dengan ­cadangan pelaksanaan ke atas beberapa ­perkara yang ­melibatkan ­pemerkasaan ­pengurusan industri umrah termasuk menjadikan ­negara ­sebagai hab umrah di ­rantau Asia. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas