Sebulan tempoh KPD kesan premis jual makanan haiwan eksotik haram

Sebulan tempoh KPD kesan premis jual makanan haiwan eksotik haram

SEMUA Ketua Polis Daerah (KPD) di seluruh negara diberi tempoh sehingga 18 Sept ini, untuk memastikan kawasan masing-masing bebas daripada restoran haram menjual atau menyajikan makanan haiwan eksotik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu termasuk ke atas premis haram menjual hidupan liar dan flora, selain arahan berkenaan telah dikeluarkan dengan setiap KPD perlu memberi laporan sebulan sekali kepada Bukit Aman, jika ada restoran atau premis haram ,melakukan kegiatan sedemikian.

“Arahan itu dikeluarkan bagi membantu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), membanteras kegiatan pemburuan haram, yang semakin berleluasa.

“Saya hendak negara kita ini bebas daripada kegiatan menjual beli daging haiwan eksotik, seperti landak, ular sawa dan buaya,” katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, di sini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan secara bersendirian dan akan menjalin kerjasama dengan PERHILITAN.

“Takkan ada 300 hingga 500 anggota sedia ada di sebuah kawasan, tidak boleh mengesan kewujudan restoran dan premis haram jual haiwan eksotik?,” soalnya.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menerima laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diugut, kerana menjalankan tugas memulihara alam sekitar yang semakin terancam.

“NGO berkenaan hanya menjalankan perkhidmatannya memulihara flora dan fauna, namun sebaliknya keselamatan dia diancam oleh pemburu haram.

“Pemburu haram yang mengugut NGO berkenaan adalah warga tempatan, dan kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap pihak yang cuba mengugut mana-mana NGO, petugas, penguat kuasa kerajaan yang menjalankan tugas pemuliharan flora dan fauna,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES