Selebriti

“Saya berdoa anak-anak saya tidak dibom” – Siti Nurhaliza

- Diterbit 28 Oktober 2023 3:04 PM MYT

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sentiasa mendoakan agar sekolah yang dibina di Gaza, Palestin oleh Yayasan Nurjiwa miliknya berada dalam keadaan selamat.

Menurut Siti, apa yang dirasai oleh penduduk Palestin sangat memberi kesan kepada kita semua.

“Alhamdulilah, sekolah saya masih selamat, sekarang ini ia dijadikan penempatan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Saya berdoa semoga sekolah saya itu tidak dibom, anak-anak saya tidak dibom.

“(Semoga) cepatlah peperangan ini dihentikan. Kita semua merasai apa yang seluruh rakyat Palestin rasa,” ujarnya.

Siti turut menyeru agar umat Islam terus menitipkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin terutama penduduk Gaza.

Siti berkata, masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan akan terkesan apabila menyaksikan ribuan mangsa perang majoritinya adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Umat Islam atau bukan beragama Islam turut terasa dengan apa yang berlaku sekarang ini, lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak yang tidak berdosa, wanita-wanita (menjadi mangsa).

“Sesiapa sahaja yang mempunyai hati dan perasaan, ada sifat kemanusian akan turut terasa dengan apa yang berlaku ini,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas