Berita

Rundingan ASEAN, China mengenai Laut China Selatan berjalan lancar

- Diterbit 12 November 2022 2:33 PM MYT

RUNDINGAN untuk menerima pakai Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan berjalan lancar menurut ASEAN dan China, dengan kedua-dua pihak mengesahkan semula penggunaan COC dapat meningkatkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata situasi di Laut China Selatan telah berubah dengan ketara sejak Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) yang ditandatangani pada 2002.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kedua-dua pihak berkumpul pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25 dan Ulang Tahun ke-20 DOC, di Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat.

ASEAN dan China juga mengiktiraf pentingnya usaha untuk memperkukuh dan meningkatkan muhibah ke arah pelaksanaan sepenuhnya DOC secara berkesan.

“DOC merupakan dokumen penting dalam Hubungan Dialog ASEAN-China yang merangkumi komitmen kolektif pihak-pihak untuk menggalakkan keamanan, kestabilan, saling mempercayai dan keyakinan di rantau ini, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS),” kata kenyataan itu.

Malaysia adalah antara negara yang menuntut wilayah perairan yang dipertikai bersama Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam dan China.

Laut China Selatan yang merupakan antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia, kaya dengan sumber marin, mineral dan mempunyai kepentingan ekonomi dan geostrategik yang besar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas