Wawancara

Rodziah fokus bangun pesona Ampang

- Diterbit 15 Mac 2024 9:00 AM MYT

MEMIKUL amanah atau tanggungjawab yang besar setelah diberi mandat oleh rakyat Ampang, Rodziah Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedar ia bukan satu tugas yang mudah.

Namun, Ahli Parlimen Ampang ini tekad dan sentiasa bersedia menggalas tugasnya itu dengan sepenuh jiwa dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan semua pihak.

Ikuti temu bual wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor yang berpeluang mendengar segala pengalaman beliau dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada penduduk.

Apakah antara cabaran yang dihadapi YB sepanjang menjadi Ahli Parlimen kawasan Ampang?

Menggalas satu tanggungjawab besar sememangnya bukan satu perkara yang mudah dan sudah tentu banyak cabaran yang perlu dihadapi. Pada saya, antara cabaran yang utama ialah memberi kepercayaan kepada semua pemegang taruh di kawasan Ampang agar mereka memahami apakah visi serta misi dan matlamat saya sebagai Ahli Parlimen di sini, saya juga mahukan kerajasama dan penglibatan semua pihak dalam membangunkan kawasan Ampang.

Cabaran lain sudah tentu, capaian atau engagement terutamanya bersama rakyat. Iyalah saya berada di kawasan orang, tidak boleh hendak main terjah sebegitu sahaja, kita juga perlu kenal penduduk, perlu fahami situasi serta masalah yang dihadapi dan pelbagai lagi. Oleh kerana itu, banyak aktiviti bersama warga Ampang telah diadakan semasa awal saya menjadi Ahli Parlimen di sini untuk bersua muka atau mengenali serta mendekatkan diri bersama mereka.

Selain itu juga, dari segi faktor keselamatan, umum sedia maklum bahawa kawasan Ampang beberapa kali terjadinya episod tanah runtuh. Justeru itu, saya perlu kembalikan rasa selamat warga Ampang dengan membawa isu cerun ini kepada pihak berwajib.

Malahan, saya turut berdepan dengan masalah rencam kehidupan warga Ampang. Kebanyakan yang tinggal di sini berbeza kelas kehidupan, budaya serta agama. Antara cabaran yang dihadapi ada yang berumahkan kaki lima, tiada makanan untuk makan, penutupan jalan dan banyak lagi.

Apakah fokus utama YB dalam menjadi Ahli Parlimen di Ampang?

Pada tahun ini, saya fokuskan dalam aspek keselamatan, kesihatan, kebersihan serta keceriaan buat warga Ampang.

Bagi aspek kesihatan itu, saya mahukan kesemua warga di sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan setiap bulan. Saya juga mahu mereka jalani kehidupan yang sihat dengan memperbanyakkan tempat rekreasi yang boleh digunakan untuk mengeluarkan peluh. Bagi isu keselamatan, saya mahu penduduk untuk tidak lagi takut atau trauma dengan insiden tanah runtuh khususnya. Aspek kebersihan dan keceriaan pula saing berkait, contohnya, kita tidak mahu lagi bahu-bahu jalan dipenuhi sampah, cat semula bangunan-bangunan lama dan dengan memperbanyakkan aktiviti berbentuk kerakyatan.

Macam tahun lepas, saya lebih fokus kepada masalah infrastruktur, kalau lihat, di Ampang, terlampau banyak pembangunan lebuh raya. Ini semua bukan sahaja menyebabkan limpahan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas malah merosakkan skyline Ampang itu sendiri.

Apakah yang dapat dikonklusikan terhadap infrastruktur yang menjadi fokus YB tahun lepas?

Berkenaan dengan infrastruktur ini, saya lebih fokuskan terhadap masalah cerun yang membelungi warga Ampang. Segala perancangan serta gerak kerja diatur bagi menangani masalah ini dengan bantuan daripada pakar, agensi kerajaan serta kerajaan sendiri.

Kita tidak mahu, dah runtuh baru sibuk nak cari jalan penyelesaian, adalah lebih baik kita mencegah dengan pemantauan berterusan terhadap kawasan-kawasan cerun di Ampang.

Selain itu, pembangunan seperti tempat menunggu bas, pejalan kaki serta pusat-pusat rekreasi, itu semua diambil peduli. Kita mahu warga Ampang kerap berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam untuk elakkan masalah trafik yang melanda ini.

Kerajaan berusaha kuat dalam menangani masalah miskin tegar, apakah peranan YB bagi mengatasi masalah ini?

Soal miskin tegar sememangnya antara musuh utama yang saya mahu kalau tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, saya mahu ia berkurang.

Sebenarnya, statistik di Ampang jelas menunjukkan hanya 68 orang sahaja termasuk dalam golongan miskin tegar. Walau angka dilihat kecil namun, ini tidak bermakna tiada golongan yang memerlukan. Apa yang saya bersama pasukan lakukan, kita bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan mencari golongan ini, kita cari solusi bantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bukan sahaja daftar kepada skim atau beri bantuan daripada duit, kita salurkan mereka ini ke tempat yang betul supaya mereka diberi bantuan. Pusat khidmat saya juga sentiasa terbuka menerima kunjungan rakyat Ampang dan mendengar segala permasalahan serta membantu mereka.

Saya juga wujudkan tempat untuk kaunseling bagi mereka menerima nasihat dari sudut kewangan terutamanya untuk melancarkan kehidupan mereka.

Sebenarnya, saya mahu membudayakan penduduk atau masyarakat Ampang untuk mempunyai tempat bertanya dan juga mencari jalan penyelesaian bukan sahaja dari segi duit tetapi apa jua masalah yang mendatang kerana saya mahukan semua pihak terlibat bersama membangunkan
Ampang yang harmoni.

Antara masalah utama di kawasan bandar ialah, kesesakan trafik, lambakan projek perumahan serta limpahan penjaja, bagaimana YB mencari solusi terbaik dalam membendung masalah ini buat warga Ampang?

Memang betul, di Ampang terkenal dengan masalah trafik. Apa yang saya lihat, sekarang ini, jalan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung trafik yang ada di Ampang.

Apa yang saya laksanakan ketika ini, menaik taraf jalan seperti melebarkan jalan yang kecil serta sempit untuk memudahkan pengguna jalan raya. Bayangkan, banyak kawasan perumahan yang dibina tanpa perancangan terkawal, namun jalan tidak dibesarkan, oleh kerana itu ia tidak seimbang.

Saya dan pasukan bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan, kementerian dengan meminta untuk menaik taraf beberapa jalan utama yang sering digunakan orang ramai.

Kita juga kenal pasti beberapa jalan digunakan ditutup untuk projek-projek tertentu, jadi kita cuba usaha untuk dipercepatkan projek tersebut.

Perancangan yang tidak holistik daripada segi pembangunan projek-projek ini juga menjadi masalah kepada warga Ampang yang terpaksa menanggung beban kesesakan trafik. Kita tidak mahu isu ini berpanjangan, kerana ia boleh menyebabkan stres kepada penduduk yang boleh membawa kepada macam-macam penyakit.

Boleh YB terangkan lagi berkenaan projek-projek yang lama untuk disiapkan?

Ada beberapa kawasan di Ampang di mana, projek-projek lebuh raya yang gagal disiapkan mengikut ketepatan masa telah menyukarkan penduduk dek kerana penutupan atau pengecilan jalan yang dibuat.

Saya sudah minta pihak berwajib untuk pantas menyiapkannya kerana ia akan memberi kesan buruk bukan sahaja buat penduduk tetapi juga keindahan Ampang itu sendiri.

Malahan penduduk juga banyak yang tiada work-life-balance apabila terpaksa keluar awal pagi serta balik di malam hari semata-mata mahu mengelak daripada kesesakan lalu lintas.

Inilah yang saya maksudkan, ia bukan satu perkara positif, kita mahukan keselesaan buat warga Ampang.

Saya juga mahu memastikan projek-projek yang dilaksanakan itu dengan tahap keselamatan yang tinggi, bukan dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga dengan merisikokan pengguna sendiri.

Apakah sumbangan yang telah YB berikan buat warga penduduk Ampang?

Tahun lepas kita ada peruntukan sebanyak RM2 juta daripada kerajaan untuk dibahagi. Saya letakkan peruntukan paling banyak kepada pendidikan.

Saya mahu, sekolah-sekolah ini cukup fasiliti yang mampu beri keselesaan terutamanya kepada para pelajar dan guru. Selain itu, seperti saya katakan sebelum ini, membaiki ruang menunggu bas yang kelihatan agak daif atau rosak.

Kemudian, fokus sumbangan itu juga terhadap rumah-rumah ibadat untuk memberi keselesaan kepada semua orang.

Apakah harapan YB buat warga Ampang?

Harapan saya ialah untuk membangunkan Ampang, supaya menjadi satu bandar hebat. Justeru itu, saya mahu semua pihak untuk bersama-sama menjayakannya. Saya mahu meninggalkan legasi saya dengan menyaksikan warga Ampang menerima perkhidmatan yang terbaik daripada saya dan pasukan-pasukan lain.

Saya tidak mahu ada pihak yang ketinggalan, kita bersama memajukan Ampang, bersatu menyelesaikan segala masalah yang mendatang. Kita akan lebih kuat jika bekerjasama dalam satu pasukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas