Wawancara

Lima tonggak jadi pegangan Syed Ibrahim

- Diterbit 8 Mac 2024 10:20 AM MYT

AHLI Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh terus fokus memberikan perkhidmatan terbaik bagi kelangsungan hidup penduduk di kawasan Parlimen Ledang.

Pelbagai rancangan dan aktiviti diterapkan dalam usaha untuk merapatkan hubungan sesama penduduk dan beliau sendiri.

Segala permasalahan ditangani dengan tenang tanpa keluh-kesah dan dapat dilihat beliau merupakan antara ahli Parlimen yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Baru-baru ini, wartawan Wilayahku Syed Hazique Syed Nor berpeluang mendengar segala pengalaman beliau sepanjang perkhidmatan.

 

Apakah perubahan yang telah YB bawa buat penduduk di kawasan Parlimen Ledang?

 

Saya tidak meletakkan satu ‘standard’ tinggi kerana saya orang baru buat mereka. Saya kena faham realiti kawasan, demografik, sejauh mana pembangunan serta isu-isu yang ada di situ. Jadi berdasarkan kriteria tersebut, saya menetapkan lima perkara utama iaitu pendidikan, kesihatan, keselesaan hidup atau kebajikan, ekonomi dan belia.

Justeru itu, lima tonggak itu menjadi panduan untuk menangani isu-isu berkaitan, contohnya macam kesihatan, di Ledang ada Hospital Tangkak yang sudah berusia lebih 100 tahun. Terdapat banyak kekurangan dalam hospital itu. Rancangan saya adalah untuk membaik pulih serta naik taraf hospital tersebut menjadi hospital pakar namun ia tidak berhasil memadangkan ada hospital-hospital besar yang berdekatan. Selepas itu, saya nak jadikannya sebagai sebuah hospital rehabilitasi namun tidak dapat dilaksanakan juga, akhir sekali kini hospital tersebut telah menjadi hospital kluster pakar.

Kemudian, bagi faktor pendidikan pula, banyak sekolah yang uzur kini telah dibaiki bagi keselesaan pelajar serta guru-guru. Bagi keselesaan hidup atau kebajikan pula, saya bersama pasukan membantu penduduk berdaftar menerima skim-skim yang disediakan kerajaan buat mereka. Dalam sektor ekonomi, kebanyakan penduduk di sini banyak yang berniaga, justeru itu, saya bersama pasukan lebih banyak membantu mereka dari segi peruncitan dan membesarkan perniagaan mereka.

Antara cabaran yang dihadapi sepanjang memegang tampuk kepimpinan di kawasan Ledang?

Sebenarnya, semasa saya memulakan tugas saya di sini, saya dianggap orang luar oleh kebanyakan penduduk, namun ia langsung tidak mematahkan semangat saya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sejak itu, saya bersama pasukan mula bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, ketua kampung, ketua masyarakat, adakan sebarang aktiviti bersama, rajin turun padang, dari situ kami mula berhubung secara berterusan dan pada masa sama, mereka mula meluahkan segala masalah dan kami cuba cari solusi. Daripada situ, hubungan mula akrab dan mereka dapat menerima saya sebagai Ahli Parlimen mereka. Barulah saya dan pasukan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

Sepanjang perkhidmatan, apakah yang difokuskan YB demi kelangsungan hidup rakyat di Ledang?

Saya banyak menumpukan sektor pendidikan, kerana ia adalah masa hadapan bukan sahaja penduduk di sini tetapi juga negara. Banyak kerjasama yang saya lakukan bersama pejabat pendidikan daerah, peruntukan juga banyak diberi kepada bahagian pendidikan demi membangunkan infrastruktur, kualiti pendidikan serta kebajikan buat guru dan pelajar untuk
sesi pembelajaran yang sempurna.

Apakah sumbangan yang telah YB berikan kepada rakyat di Ledang?

Saya dan pasukan menerima kira-kira RM4 juta peruntukan, dan daripada situ kita bahagikannya dengan 40 peratus diberi kepada pendidikan. Kita adakan program untuk pelajar demi memberikan pendidikan yang terbaik kerana ia mampu mengubah nasib keluarga mereka sendiri.

Saya percaya dan yakin apa yang telah saya dan pasukan lakukan di Ledang bertambah baik bukan sahaja pendidikan namun kelangsungan hidup rakyat di sini. Pasukan saya juga sentiasa menerima serta mendegar segala luahan atau masalah yang diajukan penduduk untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada mereka. Itulah antara perkhidmatan atau sumbangan yang telah saya bersama pasukan laksanakan.

Bagaimanakah cara YB untuk mengecilkan jumlah atau mengatasi masalah miskin tegar yang terdapat di kawasan Ledang?

 

Mengikut data yang kami perolehi, di kawasan Ledang terdapat dalam 200 orang yang miskin tegar setakat hari ini. Saya dan pasukan akan bekerjasama bersama agensi kerajaan dengan selalu mengadakan mesyuarat bersama mencari jalan untuk membasmi atau mengurangkan jumlah miskin tegar itu. Kita bincangkan tentang siapa dalam senarai e-kasih, dalam senarai itulah kita boleh kenal pasti seterusnya sasarkan terus bantuan kepada golongan ini.

Bantuan ekonomi pula, telah banyak program serta bantuan yang telah kami sediakan buat rakyat di sini, untuk mengembangkan perniagaan mereka, beri mereka ilmu tentang perniagaan serta berbincang tentang perancangan. Prosesnya panjang, tapi dipendekkan cerita juga, bantuan daripada segi mesin, barangan perniagaan diberi demi mengembangkan lagi bakat sekali gus menjana pendapatan yang lebih banyak.

Umum sedia maklum, negara kita semakin menua, apakah perancangan YB dalam menyediakan penduduk atau rakyat Ledang terhadap isu ini?

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai skim-skim seperti i-Suri, i-Sara sebagai simpanan masa tua mereka. Saya bersama pasukan juga turun padang membantu mendaftarkan skim-skim yang telah disediakan untuk membantu mereka.

Selain itu, saya praktikkan kepada mereka untuk terus aktif di masa tua, masa banyak yang terluang itu diisikan dengan perkara-pekrara berfaedah, kita beri mereka program yang boleh tingkatkan kemahiran, celik digital untuk berniaga dalam talian sekali gus dapat menambah pendapatan, belajar tentang teknologi dan pelbagai lagi.

Kemudian kita aktifkan pusat warga emas yang ada di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyediakan sebarang program atau aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada golongan-golongan tersebut.

Apakah masalah komunikasi bagi kawasan luar bandar ini merupakan satu cabaran buat YB?

Iya, pada mulanya memang agak sukar untuk kita capai setiap penduduk. Bayangkan di kawasan Ledang terdapat 73 buah kampung, bagaimanakah caranya untuk kita capai seorang demi seorang.

Pada saya, cara mudah ialah, komunikasi melalui aplikasi WhatsApp. Suka untuk saya maklumkan, kami sudah mempunyai sebanyak 500 orang di dalam satu kumpulan WhatsApp. Kita masukkan semua penduduk ke dalam kumpulan WhatsApp daripada situ kita dapat mendengar masalah, luahan, dan mencari solusi buat rakyat.

Apakah harapan YB terhadap penduduk Ledang?

Saya memang meletak harapan yang besar kepada rakyat di Ledang ini, sebab saya rasa mereka agak ketinggalan sikit berbanding tempat-tempat lain di negeri Johor.

Saya dan pasukan mulakan banyak program untuk tingkatkan kemahiran penduduk, wujudkan kawasan industri untuk membantu penduduk setempat juga.

Bila banyak hasil yang dapat diberi kepada penduduk barulah mereka dapat meningkatkan taraf serta kualiti hidup mereka tanpa mengharap sepenuhnya bantuan daripada kerajaan.

Umum tahu, tarikan utama di sini ialah Gunung Ledang itu sendiri, justeru itu, saya mahu tingkatkan lagi sektor pelancongan, membina hotel atau tempat penginapan yang selesa buat pelancong yang datang.

Selain mewujudkan pusat konvensyen sebagai tempat pusat untuk rakyat melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan sesama mereka.

Saya amat berharap agar kawasan Ledang boleh membangun dari segi ekonominya, prasarana, pendidikan serta kesihatan juga.

Sebagai Ahli Parlimen Ledang, apakah peranan YB dalam membantu kerajaan?

Sebagai wakil rakyat, memang ia bukan satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan, namun, saya bersama pasukan termasuk agensi-agensi kerajaan sering bertindak mengikut arahan daripada kerajaan.

Syukur semua gerak kerja berjalan dengan lancar setakat ini, dan banyak lagi perancangan yang telah diatur bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Ledang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas