Berita

RM403 ribu Bantuan Wang Ihsan mula diagih kepada 403 keluarga

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyampaikan BWI kepada mangsa tanah runtuh di Kampung Palimbayan di PPS Sungai Penchala hari ini.
- Diterbit 28 Disember 2021 10:21 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menerima dana Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM403,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diagih-agihkan kepada 403 keluarga yang terjejas dengan bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, jumlah mangsa terkesan dengan bencana yang direkodkan pihaknya adalah kira-kira 1100 keluarga dan pemberian BWI akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita mulakan dengan kumpulan pertama kepada 46 keluarga yang merupakan mangsa bencana tanah runtuh di Kampung Palimbayan Sungai Penchala yang kini ditempatkan sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala yang membolehkan setiap keluarga menerima sejumlah RM1,000 wang tunai, sebelum bantuan-bantuan seterusnya diberikan.

“Mereka (mangsa) tidak perlu susah pergi ke bank, kita selesaikan pemberian wang tunai untuk kesemua penerima hari ini juga,” katanya kepada pemberita semasa program penyampaian BWI kepada mangsa tanah runtuh di PPS Sungai Penchala di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

BWI itu membabitkan 107 keluarga bencana tanah runtuh, 285 keluarga adalah mangsa banjir dan Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Batu Bata, Kampung Baru dan 11 keluarga lagi merupakan mangsa kebakaran di Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Cheras.

Katanya lagi, KWP juga telah membuat permohonan tambahan kepada pihak NADMA untuk penyaluran bantuan Fasa kedua yang dianggarkan dalam RM1.3 juta bagi bayaran BWI kepada mangsa bencana di Wilayah Persekutuan yang masih belum diberikan bantuan dalam masa yang terdekat.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, seramai 24 mengsa rumah ranap di Kampung Palimbayan Sungai Penchala akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) berhampiran dalam tempoh terdekat memandangkan PPS yang digunakan perlu dikosongkan.

“Mangsa yang terlibat akan diberikan surat tawaran dalam tempoh seminggu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang giat menyediakan unit-unit PPR dan PA untuk penempatan mereka,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas