Berita

YAM bantu, santuni keperluan mangsa banjir di pelbagai lokasi

PRESIDEN YAM, Hussin Ismail (kanan) ketika menyerahkan set dapur memasak kepada mangsa banjir di Klang, Selangor.
- Diterbit 28 Disember 2021 11:20 AM MYT

BENCANA banjir melanda pelbagai lokasi seluruh negara bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa malahan turut memusnahkan harta benda penduduk di kawasan terjejas yang keseluruhan kerugiannya mencecah jutaan ringgit.

Prihatin dengan kesusahan serta nasib menimpa mangsa, mendorong Yayasan Amal Malaysia (YAM) menggerakkan pelbagai inisiatif bertujuan menyantuni keperluan mangsa banjir seterusnya meringankan beban yang ditanggung mereka.

Presidennya, Hussin Ismail berkata, sehingga kini YAM telah memperuntukkan sejumlah RM70,000 bagi melaksanakan beberapa misi bantuan banjir di pelbagai lokasi seluruh negara dengan objektif  menyalur sumbangan untuk keperluan mangsa.

SELAIN berfungsi sebagai Dapur Rakyat, empat lokasi terbabit turut menjadi pusat pengumpulan bantuan banjir.

Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan bagi membantu keperluan mangsa yang utama adalah program Dapur Rakyat dengan fungsinya sebagai tempat penyediaan makanan panas untuk diagih kepada mangsa yang terjejas.

Secara purata katanya, Dapur Rakyat beroperasi di empat lokasi berupaya menyediakan makanan panas sebanyak 600 pek setiap hari bermula 20 Disember 2021 untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang serba memerlukan.

“Lokasi operasi dapur ialah berhampiran kawasan bencana antaranya Pusat Dakwah Serantau YAM di Bangi, Kampung Delek, Kota Raja dan Kuantan, Pahang, turut berfungsi jadi pusat pengumpulan bantuan sebelum diagih kepada mangsa banjir memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan media YAM, hari ini.

Dalam pada itu, selain menyediakan keperluan makanan, YAM turut mengagihkan sumbangan barang keperluan seperti set kebersihan diri, toto, selimut, makanan kering dan ringan selain set dapur memasak dan lain-lain keperluan sesuai.

ANTARA misi bantuan dan kerja-kerja pembersihan dilaksana oleh YAM bagi ringankan beban mangsa.

Menurut Hussin, peruntukan yang disediakan itu turut meliputi belanja Ops Bersih banjir mulai 23 Disember (Khamis) di kawasan sekitar Labohan Dagang, Bukit Changgang, Banting.

Usaha diambil katanya, diharap dapat membantu meringankan beban mangsa banjir di kawasan bencana seterusnya memastikan mereka mampu meneruskan hidup dan tabah mengharungi ujian yang melanda ketika ini.

“YAM menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk sukarelawan yang catat penyertaan memberangsangkan, tunjukkan ramai rakyat yang prihatin ingin turut serta dalam misi banjir kali ini.

“Berdasarkan rekod, lebih 200 sukarelawan turut serta di Labohan Dagang untuk kerja pembersihan kawasan bencana. Selain itu, 1,000 sukarelawan dari Kelantan turun ke Pahang untuk membantu mangsa banjir di sana serta 100 petugas dari Terengganu mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan ini,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas