Berita

RM13.5 juta bajet kebajikan tahun ini, YWP fokus pembangunan usahawan

- Diterbit 17 Februari 2021 5:04 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) dijangka memperuntukkan sejumlah RM 13.5 juta untuk program kebajikan bagi membantu warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, tidak ada pengurangan jumlah dari segi bantuan di peringkat YWP malah ia bakal bertambah ekoran penambahan jumlah penerima dan sumbangan.

“Pada tahun ini, YWP akan memberi fokus kepada Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.

“Dalam masa sama, YWP akan terus membantu orang ramai supaya dapat menjana pendapatan semula ekoran pandemik COVID-19,” ujar beliau ketika dihubungi Wilayahku pada Isnin.

Tambah Zaizalnizam, selain daripada itu, program-program lain seperti bahagian pendidikan, penyerahan bantuan-bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan dan sebagainya masih
diteruskan seperti biasa.

“Walau bagaimanapun, bagi memastikan kelancaran program-program yang dilaksanakan, YWP akan menambah baik dari segi penerima dan juga kaedah pemberian sumbangan yang semestinya mengikut norma baharu,” ujar beliau k epada Wilayahku.

Beliau turut memaklumkan, sepanjang tahun 2020 lalu, YWP telah membelanjakan RM 10.1 juta bagi program-program kebajikan. “Semua peruntukan bergantung kepada hasil pendapatan YWP.

Lebih banyak hasil yang diperoleh daripada perniagaan YWP, maka lebih banyak kita akan salurkan kepada program sumbangan,” ujar beliau.

Tegas beliau, peruntukan yang digunakan untuk sumbangan adalah sepenuhnya daripada pihak YWP dan tidak bergantung kepada bajet kerajaan atau sebagainya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas