Berita

Hentikan perpecahan kaum sendiri

DATUK NADZIM JOHAN
- Diterbit 17 Februari 2021 5:00 AM MYT

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kaum Melayu negara ini mengabaikan cubaan sesetengah pihak yang mahu memecahbelahkan perpaduan bangsa mereka.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, dia amat kesal dengan situasi semasa khususnya dalam arena politik negara.

“Ia amat menyedihkan apabila perpecahan yang berlaku adalah dalam kalangan kaum Melayu sendiri,” katanya d alam satu kenyataan di sini.

Tambah Nadzim, perkara itu juga amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan kaum Melayu adalah orang Melayu sendiri.

“Adakah orang Melayu sudah hilang rasa malu dan selesa bergaduh secara terbuka di hadapan orang lain? Adakah kita mahu orang Melayu di sini menerima nasib sama seperti kaum Melayu Champa atau kaum Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?

“Melihat perkembangan terkini terutama d alam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Nadzim turut menasihati ahli politik Melayu supaya belajar dari parti DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina negara ini walaupun mereka tidak sependapat dalam arena politik.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati, jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah kita akan lemah dan akan dihina,” katanya yang mahu rakyat membuat pilihan bijak serta sanggup berkorban seperti bangsa-bangsa yang berjaya.

Nadzim mahu rakyat Malaysia khususnya orang Melayu di negara ini untuk bertindak dan menguatkan perpaduan dalam kalangan kaum Melayu dan mengabaikan pihak yang cuba memecahbelahkan orang Melayu.

Tambahnya, kesan perpecahan kaum ini amat bahaya, jika bukan sekarang, dikhuatiri ketuanan Melayu akan hilang dan nasib kesemuanya berakhir dengan tragedi. – NUR SURAYA ALI 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas