Berita

Produktiviti buruh merosot kepada negatif 2.9 peratus – DOSM

- Diterbit 17 Februari 2021 5:37 AM MYT

PRODUKTIVITI buruh Malaysia terus menurun kepada negatif 2.9 peratus pada ST4 2020 selepas mencatatkan negatif 2.2 peratus pada ST3 2020.

Menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan (DOSM), Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, produktiviti buruh kekal dalam trend menurun bagi empat suku tahun berturut-turut.

MOHD UZIR

Bagaimanapun, katanya, keseluruhan prestasi produktiviti buruh bagi tahun 2020 yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja jatuh 5.4 peratus (2019: 2.1%) berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa kawalan pergerakan yang dilaksanakan sepanjang tahun, dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM88,899 per pekerja (2019: RM93,973 per pekerja).

Sebaliknya, jelas beliau, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada 2020 meningkat 3.4 peratus (2019: 2.2%) dengan nilai RM42 per jam (2019: RM41 per jam).

“Jumlah jam bekerja bagi tahun 2020 adalah sebanyak 32.0 bilion jam (2019: 35.0 bilion jam), berkurang 8.7 peratus (2019: 2.1%). Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6 peratus (2019: 4.3%) manakala pekerja jatuh 0.2 peratus (2019: 2.1%).

“Pandemik ini menyebabkan perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi. Dengan penggunaan teknologi, ia akan menambahbaik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka masa sederhana dan panjang,” jelasnya.

Mengulas mengenainya, Mohd Uzir berkata, pada suku itu, jumlah pekerja berkurang 0.6 peratus (ST3 2020: -0.4%) kepada 15.2 juta orang sementara Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ST4 2020 menguncup 3.4 peratus (ST3 2020: -2.6%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, Mohd Uzir berkata, pada ST4 2020, jumlah jam bekerja menurun 2.7 peratus (ST3 2020: -2.7%) selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Susulan itu, katanya, jumlah jam bekerja yang direkodkan adalah sebanyak 8.6 bilion jam dan ia menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turun sedikit 0.8 peratus kepada RM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1 peratus (RM41 per jam) pada ST3 2020.

“Mengikut sektor ekonomi, Pembuatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif 3.2 peratus (ST3 2020: 3.7%) bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.

“Sektor Perlombongan dan Pengkuarian terus merekodkan kejatuhan signifikan 9.1 peratus pada ST4 2020 berbanding negatif 4.6 peratus pada suku sebelumnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memkalumkan, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor Pembinaan dan Perkhidmatan masing-masing jatuh 8.4 peratus (ST3 2020: -10.2%) dan 4.9 peratus (ST3 2020: -3.9%) manakala bagi sektor Pertanian, kejatuhan marginal 0.3 peratus dicatatkan berbanding pertumbuhan positif 0.3 peratus pada ST3 2020.

Ujar beliau, hampir kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan dalam produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini kecuali Pembuatan yang terus mencatatkan kenaikan 6.0 peratus (ST3 2020: 7.0%).

“Pembinaan merekodkan kejatuhan produktiviti buruh tertinggi sebanyak negatif 6.7 peratus (ST3 2020: -9.0%), diikuti Perlombongan dan Pengkuarian (-6.4%) serta Perkhidmatan (-2.7%).

“Manakala sektor Pertanian, mencatatkan penurunan sederhana 0.4 peratus pada suku ini (ST3 2020: +0.7%),” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas