Berita

Rasuah, pembaziran beri kesan agihan kepada golongan memerlukan – PM Anwar

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 8 November 2023 1:13 PM MYT

AMALAN rasuah, penyelewengan dan pembaziran perlu dihentikan kerana ia beri kesan pengagihan kepada golongan memerlukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap merasmikan Kolokium MADANI Perkhidmatan Awam di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembaziran mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan amalan itu perlu dibanteras dengan tekad politik daripada Jemaah Menteri serta dukungan penjawat awam.

“Paling ketara ialah kerana (kelemahan) tatakelola dan penyelewengan diterima sebagai satu sistem. Beberapa skandal besar tidak mungkin berlaku hanya dengan ahli politik yang korup.

“Dia kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistemnya, ilmuan dan ahli akademik diam membisu dan pentadbir yang susah terima kenyataan ini dan tidak mampu lakukan perubahan,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pimpinan penjawat awam kerana mempamerkan prestasi membanggakan dalam tempoh hampir setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan keupayaan dan potensi dipamerkan semua pihak, Anwar turut menzahirkan keyakinan Malaysia mampu kembali menjadi sebuah negara yang hebat di persada dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Saya meluahkan idea, cara terbuka dari segi konsep pendekatan supaya rakan penjawat awam dapat memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya yakin dengan semangat baharu, beri masa dua atau tiga tahun, Malaysia dapat diangkat sebagai satu negara hebat,” katanya.

Anwar turut mengulangi gesaan supaya semua pihak mempermudahkan urusan kemasukan pelaburan dari luar negara kerana ia mampu meningkatkan ekonomi negara ini.

“Kaedah lama tidak boleh pakai lagi, orang minta nak labur (tetapi) tunggu lapan bulan baru bagi jawapan.

“Saya kata tidak boleh, kalau kita langgar sikit-sikit peraturan selagi tiada rasuah dan tidak penyelewengan…kalau peraturan dan teknikal itu bukan jadi masalah, ia menjadi masalah kalau mencuri wang negara,” katanya.

Mengenai gagasan Malaysia MADANI diperkenalkannya, Anwar berkata gagasan dipacu Kerajaan Perpaduan itu merangkul semua aspek termasuk keyakinan dan nilai yang sesuai dengan negara ini.

“Kenapa lakukan anjakan (gagasan MADANI) ini kerana kita fikir kerana negara ada jati diri dan identiti yang harus diterapkan berdasarkan keyakinan dan nilai.

“(Dasar Barat) ada kekuatan dan beri manfaat tetapi kelemahan dari aspek nilai akhlak dan agama tidak disinggung. Dalam rangka MADANI, teras semuanya tidak lari dari keyakinan dan nilai,” katanya menambah, gagasan Malaysia MADANI perlu diamalkan kerana ia hanya menjadi slogan biasa jika tidak dihayati dan dilaksanakan.

Konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Anwar secara rasmi pada 19 Jan lepas, diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas