Biz

Raih ratusan ribu ringgit jual biskut raya

- Diterbit 29 Mac 2024 12:59 PM MYT

MENJELANG hari raya Aidilfitri yang bakal disambut kurang seminggu sahaja lagi, pastinya biskut raya menjadi tumpuan pembeli untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang bertandang pada lebaran nanti.

Turut diakui pengusaha kuih raya Kayla Cookies, Ernie Hamil Hamzah, 34, dia dan kakitangan bersengkang mata demi menyiapkan lebih 5,000 tempahan pelbagai jenis biskut raya sejak sebulan lalu.

“Alhamdulillah Kayla Cookies mendapat sambutan amat mengalakkan terutama daripada pelanggan sedia ada selain turut menjadi tumpuan golongan korporat dan vvip yang menjadikan Kayla Cookies sebagai buah tangan,” ujarnya.

Pernah menerima tempahan sempena rumah terbuka Perdana Menteri pada tahun lalu, Ernie bersyukur perniagaan biskut raya yang diusahakan sejak tahun 2014 kini semakin kukuh.

Namun, ibu tunggal ini mengakui perjalanan satu dekad sebagai pengusaha kuih raya bukanlah mudah seperti yang disangka kerana banyak cabaran yang perlu dilalui untuk kekal menjadi pilihan.

“Konsep Kayla Cookies sejak dari dahulu lagi adalah biskut raya mampu milik namun kenaikan kos harga bahan mentah merupakan antara cabaran utama yang perlu dilalui.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, saya faham tidak semua orang senang jadi saya cuba sehabis baik dengan tetap mengekalkan harga asal RM35 sebalang tanpa mengurangkan sedikit pun kuantiti biskut raya.

“Tidak dinafikan, aspek keuntungan menjadi keutamaan setiap peniaga namun saya percaya dengan kaedah ini ada rezeki di sebaliknya,” katanya yang turut menawarkan harga set iaitu empat bekas berharga RM120.

Selain itu, antara cabaran yang sering dilalui adalah karenah pelanggan yang suka membatalkan pesanan di saat akhir sedangkan sebelum itu dia terpaksa menolak tempahan pelanggan lain.

“Disebabkan perkara tersebut dan untuk mengelakkan ia terjadi lagi, saya terpaksa menegaskan kepada pelanggan untuk membuat tempahan dengan bayaran pendahuluan,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang permulaannya dalam perniagaan biskut raya, Ernie berkata, minat yang mendalam terhadap bidang masakan membuatkannya bertekad untuk mengubah hidup.

“Saya bermula dengan modal yang kecil, namun itu bukanlah halangan untuk tidak memulakannya. Lagi pula saya merupakan ibu tunggal sudah tentu saya mengimpikan untuk membesarkan anak dalam keadaan yang selesa.

“Diharapkan ia boleh menjadi inspirasi kepada suri rumah di luar sana kerana dalam hidup ini tiada yang mustahil jika kita benar-benar tekad untuk lakukannya,” ujarnya yang kini mempunyai lima orang pembantu.

Ingin mengukuhkan lagi perniagaannya, wanita cekal ini tidak hanya menumpukan jualan biskut raya semata-mata namun turut menjual rendang sepanjang tahun.

“Insya-Allah kini saya sedang memfokuskan dari segi pemasaran untuk membawa Kayla Cookies ke pasaran luar dan membuktikan usahawan bumiputera mampu bersaing ke peringkat antarabangsa,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas