Selera

Ceq Lapaq Nasik Lah! tarikan di Rebung Putrajaya

- Diterbit 29 Mac 2024 2:35 PM MYT

RESTORAN Rebung Cef Ismail sinonim buat mereka yang menggemari masakan kampung tradisional terutama ketika berbuka puasa. Lebih menarik kini Restoran Rebung Chef Ismail 2 telah pun dibuka bertempat di Taman Seri Empangan, Putrajaya.

Menawarkan lebih 50 jenis menu, sempena Ramadan, ia menampilkan lima jenis hidangan nasi popular di Malaysia yang jarang ditemui antaranya nasi lemuni, nasi ulam, nasi ikan, nasi kerabu dan nasi daging.

Menurut pemiliknya, Cef Datuk Ismail Ahmad, bertemakan Ceq Lapaq Nasik Lah! setiap jenis hidangan nasi didatangkan dengan set merangkumi lauk utama dan sampingan yang dimakan bersama nasi-nasi tersebut.

“Untuk nasi kerabu kita sediakan ayam percik, solok lada, ikan goreng dan telur masin manakala nasi lemuni antara lauk pilihan adalah sambal ikan tongkol, sambal paru dan sambal telur.

“Sementara nasi daging pula seperti kebiasaan ia disediakan sekali dengan air asam dan nasi ikan disertakan dengan ikan tongkol goreng.

“Selain itu, kita juga menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk seperti ikan patin tempoyak, keli berlada, daging salai masak lemak, ikan bakar, sayur-sayuran serta pelbagai pilihan ulam-ulaman dan banyak lagi,” katanya.

Selain hidangan wajib dicuba, beliau turut menyediakan menu-menu sampingan lain seperti aneka jenis mee, bubur, pecal, roti jala, martabak serta pelbagai jenis air.

Mengekalkan konsep tradisional, hiasan klasik membuatkan pengunjung merasai pengalaman seolah-olah berbuka di kampung sendiri dan lebih menarik di cawangan Putrajaya, pelanggan disajikan dengan pemandangan indah tasik Putrajaya di sebelah malam serta bangunan-bangunan ikonik.

Berkongsi lanjut, Cef Ismail berkata harga yang dikenakan hanya RM99 untuk dewasa manakala kanak-kanak yang berusia lima hingga 12 tahun pula RM69 seorang.

“Bufet Ramadan di Restoran Rebung 2 Putrajaya ini bermula sepanjang Ramadan iaitu dari 12 Mac sehingga 8 April 2024,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Cef Ismail berkata selain bufet Ramadan, Rebung 2 Putrajaya turut mengadakan bufet Hari Raya yang akan menggabungkan hidangan bufet hidangan tengah hari dan makan malam beserta tempahan menu sempena Hari Raya seperti lemang, ketupat palas, rendang dan lain-lain.

“Promosi ini akan berlangsung bermula 16 April (raya ketujuh) hingga 9 Mei 2024 di mana ia akan diadakan sebanyak tiga sesi iaitu pukul 11 pagi hingga 2 petang (sesi 1), pukul 3 hingga 6 petang untuk sesi kedua manakala sesi ketiga bermula pada pukul 7 petang sehinga 10 malam.

“Harga yang dikenakan pula adalah RM79 untuk seorang dewasa dan RM59 buat kanak-kanak yang berusia lima hingga 12 tahun,” katanya.

Kemudahan lengkap

Pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung antaranya ruang makan yang mampu menampung kapasiti

300 orang dalam satu masa, empat ruang khas (private room) yang boleh memuatkan kira-kira 12 orang serta surau dan tandas bersih juga selesa disediakan buat pelanggan.

“Kemudahan parkir kereta juga disediakan dan untuk masa akan datang kita bakal mewujudkan bilik mesyuarat serta studio house untuk program kelas memasak dan juga rakaman program memasak di mana kadar sewa akan ditentukan kelak,” ujar Cef Ismail.

Sama seperti cawangan pertamanya, Cef Ismail berkata Rebung 2 Putrajaya turut menyediakan perkhidmatan katering sama ada di restoran, kediaman atau pejabat serta majlis tertutup seperti pertunangan, kahwin, hari lahir dan sebagainya.

Buat mereka yang gemarkan masakan kampung asli jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman berbuka di Restoran Rebung 2, Putrajaya sempena Ramadan ini.

Taman Seri Empangan, Lebuh Gemilang, Presint 5, 62200 Putrajaya
6.30 petang hingga 9.30 malam
011-6745 3535 / 011-6743 5355
rebungchefismail2

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas