Artikel

Promosi Tourism Malaysia rancak sektor pelancongan negara

|
- Diterbit 25 Ogos 2023 6:57 AM MYT

SEKTOR industri pelancongan di Malaysia menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan setelah lebih dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Industri pelancongan adalah antara sektor yang terkesan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian dalam industri berkenaan adalah sebanyak RM135 bilion pada tahun 2020 dan meningkat kepada RM165 bilion pada tahun 2021.

Malaysia kini sedang beralih ke fasa persekitaran endemik dan pelbagai usaha dan aktiviti promosi telah dilakukan bagi membantu memulihkan industri pelancongan sekali gus menyumbang kepada ketumbuhan ekonomi negara.

Di Malaysia, prestasi pelancongan antarabangsa pada tahun 2022 mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 7,475% dengan merekodkan ketibaan 10,070,964 pelancong asing berbanding 134,728 pada tahun 2021.

Setelah hampir dua tahun, rakyat Malaysia kini dapat menarik nafas lega apabila pelancongan domestik kembali rancak dan menunjukkan tanda pemulihan ekonomi.

Malaysia juga merekodkan kemasukan 4,196,452 pelawat harian asing berbanding 265,137 pada 2021 dengan penyumbang utama melibatkan pasaran jarak dekat seperti Singapura (75.7%), Thailand (11.2%), Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam.

Kebanyakan aktiviti rentas sempadan ini membabitkan pergerakan warga Singapura di Tambak Johor dan Gelang Patah dengan tujuan utama untuk melawat saudara-mara dan sahabat (VFR), membeli-belah serta melancong.

Di bawah Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk mempromosikan pelancongan. Peruntukan tersebut merangkumi RM115 juta yang disediakan sebagai dana geran padanan untuk bekerjasama dengan industri pelancongan dan kebudayaan.

Geran padanan ini antara lain bertujuan menggalakkan aktiviti promosi pelancongan dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudaayan. Geran ini turut digunakan bagi menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan sewa khas (charter).

Sebanyak RM50 juta telah diperuntukan untuk dua geran iaitu Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi membantu penggiat industri merancakkan semula sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

Menerusi geran sepadan Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN), Tourism Malaysia juga membantu menggiatkan program promosi dan pemasaran bagi meningkatkan ketibaan pelancong asing ke Malaysia di samping menyemarakkan pelancongan domestik menerusi penyertaan dalam pameran pelancongan, misi jualan, seminar pelancongan dan webinar, lawatan suai kenal (FAM Trip) serta hebahan video menerusi platform secara dalam talian.

Di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0) pula, penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia turut diteruskan dalam bentuk penebusan diskaun, baucar dan rebat menerusi kerjasama strategik dengan penggiat industri melibatkan lima kluster iaitu kluster pengangkutan darat, kluster pengangkutan udara, kluster persatuan pelancongan, kluster penginapan dan kluster pelancongan minat khas.

Inisiatif ini telah memanfaatkan 248,450 pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia dengan nilai penebusan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta manakala hasil jualan yang direkodkan adalah sebanyak RM40.67 juta.

Bagi meyakinkan orang ramai untuk melancong, Tourism Malaysia telah melancarkan kempen baharu iaitu Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia untuk melonjakkan momentum promosi pelancongan dalam negara. Tagline Inilah Masanya memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik sekali gus berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Memfokuskan kepada segmen keluarga dan golongan generasi Y (millennials), kempen ini juga mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan family fun, eko pelancongan dan kembara, pulau dan pantai, aktiviti beli-belah serta budaya, makanan dan warisan.

Selain itu, Tourism Malaysia turut meneruskan program seperti Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) Travel Fair bagi penjualan pakej percutian, tambang dan tiket masuk pada harga menarik untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, selain kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan dan operator pelancongan antarabangsa menerusi 30 Pejabat Tourism Malaysia dan enam wakil pemasaran di seluruh dunia, Tourism Malaysia juga telah menerbitkan beberapa video bagi kempen pengiklanan global iaitu The Soul of Malaysia, video yang meneroka pengalaman percutian serta keindahan budaya dan warisan Malaysia, kini sedang ditayangkan di beberapa rangkaian BBC yang merangkumi pasaran Asia Pasifik, Eropah, Asia Selatan dan Timur Tengah.

Selari ke arah digitalisasi pelancongan, aktiviti pemasaran pelancongan turut digiatkan secara dalam talian khususnya di beberapa platform media sosial seperti YouTube, Instagram, Facebook, Twitter dan TikTok selain menjalinkan kerjasama bersama pempengaruh media sosial dan key opinion leaders (KOLs) serta penawaran pakej menerusi online travel agents (OTA).

Tourism Malaysia juga menyambut ulang tahun ke-50 dengan memperkenalkan pakej-pakej baharu seperti Pakej Minat Khas yang merangkumi segmen Alam Semula Jadi & Kembara, Homestay, Pemerhatian Burung (Birdwatching), Agro Pelancongan, Berbasikal, Budaya & Warisan, Selam Skuba, Golf, Taman Tema serta Spa & Kesihatan.

Selain itu, terdapat juga Pakej pelancongan durian, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej pelancongan Arkeo & Geopark Lembah Lenggong, Pakej Discover Historical & Cultural Geo Lenggong, Pakej Lenggong Jelajah Gua & Makan Durian, Pakej Mini Amazon Paddling @ Lenggong dan kesemua pakej pelancongan ini telah dimuatkan dalam sebuah risalah yang kini boleh diakses di laman sesawang Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

Tourism Malaysia juga akan melaksanakan promosi yang berterusan dalam usaha memulihkan industri pelancongan, bukan sahaja untuk menggalakkan pelancong untuk terus melancong, malahan membantu menyokong pengusaha produk-produk pelancongan tempatan selain memperkukuh industri pelancongan negara.

Berdasarkan Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026, pendekatan baharu dalam strategi pemasaran antara lain memberikan keutamaan kepada pemasaran kreatif dan digital, meningkatkan pemasaran bercampur (mix promotion), beralih kepada promosi berasaskan sentimen dan emosi serta pengukuhan jenama.

Promosi awal juga akan dipergiatkan oleh Tourism Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sebagai persediaan Tourism Malaysia meletakkan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan RM76.8 bilion pada tahun 2025 nanti.

Secara keseluruhannya, sektor industri pelancongan di Malaysia diramalkan akan kembali pulih secara beransur-ansur kepada tahap pra-pandemik. Sokongan padu yang berterusan daripada pihak industri pelancongan juga adalah sangat penting bagi membantu dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan dan merealisasikan secara keseluruhan kepada pertumbuhan ekonomi negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas