Berita

Program Terapi Alam galak gaya hidup sihat

PROGRAM Terapi Alam bersama Orang Kurang Upaya yang diadakan pada tahun lalu.
- Diterbit 12 Mei 2023 7:29 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) melalui Seksyen Local Agenda 21 (LA21) Putrajaya akan mengadakan enam siri Program Terapi Alam @ Putrajaya bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

PPj berkata program tersebut akan bermula pada 28 Mei ini dan kemasukan adalah percuma buat semua warga Putrajaya mahupun luar.

“Ia dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan komuniti Putrajaya selaras dengan hasrat untuk membentuk Putrajaya ke arah Bandar Mampan dan Komuniti Lestari.

“Kemasukan program ini adalah secara percuma. Sila imbas Barcode untuk membuat pendaftaran bagi penyertaan program ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook PPj baru-baru ini.

Tambahnya setiap siri adalah terhad kepada 60 peserta sahaja bermula pukul 8 pagi sehingga 1 petang.

“Siri pertama akan bermula pada 28 Mei 2023 di Taman Saujana Hijau, Presint 11 diikuti 17 Jun, 15 Julai, 30 Julai, 12 Ogos dan siri keenam iaitu terakhir akan diadakan pada 26 Ogos bertempat di Taman Cabaran, Presint 5,” jelasnya.

PPj berkata pelaksanaan Program Terapi Alam@Taman-Taman di Putrajaya ini mencapai 4 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu SDG 3: Good Health and Well-Being, SDG 11: Sustainable Cities and Communities dan SDG 17: Partnership For The Goals.

Berkongsi mengenai objektif utama program PPj berkata antaranya adalah bagi mewujudkan program yang selaras dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Selain itu, ia bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan tekanan komuniti Putrajaya selaras dengan hasrat untuk membentuk Putrajaya ke arah Bandar Mampan dan Komuniti Lestari; Meningkatkan Indeks Kebahagiaan (Happiness Index) komuniti Putrajaya dan meningkatkan peratusan kepuasan penduduk terhadap perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana ianya diambil kira dalam Penarafan Bintang (Star Rating) PBT dalam Kategori Bandaraya.

“Objektif lain adalah untuk memperkenalkan dan mempromosi taman-taman di Putrajaya dengan mengadakan pelbagai program yang selaras dengan aktiviti taman serta memberi pendedahan pendidikan dan pengetahuan berhubung flora dan fauna yang terdapat di Taman-Taman Putrajaya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Seksyen LA21 Putrajaya atau hubungi di talian 013- 380 9308/ 03-8887 7293 (Naseer) atau 03- 8887 7458 (Ima). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas