Berita

Program keagamaan pasak pembangunan Malaysia Madani

ORANG ramai menghadiri Majlis Ilmu MADANI bertempat di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat lalu.
- Diterbit 2 Jun 2023 4:05 AM MYT

SELARI dengan acuan Malaysia Madani, Kerajaan Perpaduan yang dinakhodai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan pelbagai program berbentuk keagamaan untuk diterapkan dalam masyarakat.

Ia seiring dengan konsep Madani yang membawa maksud kerajaan bertamadun sekali gus mengembalikan kepada asas dengan menjadikan masjid sebagai pangkalan majlis ibadah dan ilmu.

Malah nilai-nilai dalam kerangka Malaysia Madani itu turut diterima oleh masyarakat bukan Islam kerana ia bersifat inklusif dalam menyantuni semua kaum dan agama sekali gus membina masyarakat yang bersatu.

MOHD IZANI

Penganalisis dan pemerhati politik, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, program keagamaan sangat penting kerana ia sebagai pasak kepada pembangunan Malaysia Madani.

“Konsep Malaysia Madani adalah universal dan boleh diaplikasi kepada semua masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam,” ujar beliau ketika dihubungi Wilayahku bagi mengulas tentang pentingnya program berbentuk keagamaan kepada masyarakat.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata program berunsur keagamaan akan turut membawa impak yang baik kepada pemerintahan.

“Masyarakat akan melihat Islam itu suatu agama yang sangat progresif dan menekankan soal keseimbangan dalam pentadbiran, iaitu kemajuan dari segi material dan spiritual.

“Dalam masa yang sama, sesi penerangan konsep ini perlu disebar luas kepada rakyat kerana kejayaan Malaysia Madani bergantung kepada kefahaman dan penghayatan rakyat,” ujar beliau.

Jumaat lalu, lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu Madani yang dianjurkan Pejabat Perdana Menteri bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diadakan di Masjid Putra.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata maksud negara Madani adalah kembali kepada asas menjadikan masjid sebagai pangkalan majlis ibadah dan ilmu serta menetapkan semua dasar pendidikan ekonomi dengan semangat ihsan, rahmah dan amanah supaya benar-benar mengangkat martabat serta darjat umat dan negara.

Program yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu menampilkan dua tokoh besar dalam dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Al Alamah Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz.

Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli program bacaan maulid, selawat dan munajat seterusnya sesi perkongsian khas kedua-dua tokoh ulama tersebut bertajuk Nilai Ta’aruf Dalam Masyarakat Madani dan Ilmu Dan Akhlak Dalam Pembinaan Masyarakat Madani. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas