Berita

Komuniti media sambut baik Tabung Kasih@HAWANA

FAHMI (kiri) ketika menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Muhammad Basir di rumahnya di Balakong baru-baru ini.
- Diterbit 2 Jun 2023 3:50 AM MYT

TABUNG Kasih@HAWANA yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, Sabtu lalu diterima baik oleh komuniti media dan menyifatkannya sebagai satu cara menghargai jasa-jasa mereka dalam bidang kewartawanan.

Menurut salah seorang penerima, Muhammad Basir Abu Bakar yang merupakan bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd, bantuan secara one-off yang diterima sedikit sebanyak meringankan bebannya yang menghidap penyakit jantung.

Alhamdulillah, tabung ini bagus kerana ia membantu pengamal media yang berada dalam kesusahan. Diharapkan tabung ini berterusan serta ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, Muhammad Basir turut mencadangkan agar pihak-pihak di luar sana tidak putus menyumbang dan hebahan terhadap tabung tersebut diperluaskan lagi.

Sementara itu, menurut salah seorang wartawan, Najiy Jefri berkata tabung ini juga membuktikan penat lelah dan sumbangan wartawan dalam memartabatkan industri kewartawanan diiktiraf.

“Sekurang-kurangnya mereka diberi perhatian ketika susah sekali gus menampakkan jasa mereka dihargai biarpun tidak lagi bergelar wartawan dan sebagainya,” ujarnya.

Merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), tabung yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 itu bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Sehingga kini seramai enam orang penerima mendapat manfaat daripada tabung tersebut.

Terdahulu, Anwar ketika merasmikan majlis yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak meluluskan peruntukan permulaan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas