Berita

Program Jom Bersih Bukit Bintang: Capai matlamat indahkan lorong belakang

KOMUNITI berganding bahu membersihkan kawasan sekitar Bukit Bintang pada Program Jom Bersih Sabtu lalu.
- Diterbit 2 Jun 2023 4:11 AM MYT

LORONG belakang yang dahulunya sinonim dengan kawasan hitam atau menjadi tempat lepak kutu rayau bahkan merupakan kawasan kotor khususnya di sekitar Bukit Bintang telah bertukar wajah ekoran perubahan sikap yang ditunjukkan komuniti setempat.

Pengerusi Bukit Bintang Central Enviromental Committee (BBECC), Simon Leong berkata usaha yang dilakukan pihak komuniti setempat sejak tahun 2009 berjaya membuahkan hasil apabila sebahagian lorong belakang di beberapa kawasan berkenaan mula berubah wajah.

Katanya, ia adalah hasil kerja berpasukan serta kerjasama yang diterima daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta menjadikan usaha yang mula dirintis diiktiraf pihak berkuasa.

“Jika dahulu lorong belakang ini kotor dan tikus yang bersaiz besar berkeliaran malah ia berpotensi menyebarkan penyakit. Atas kesedaran itu, kami melalui komuniti Bukit Bintang berganding bahu untuk mengubah keadaan tersebut.

“Setelah mendapat kerjasama daripada beberapa agensi termasuk Local Agenda 21 (LA21) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Alam Flora Sdn Bhd, Indah Water Konsortium (IWK), kawasan ini mula berubah dan ceria, malah tikus dan binatang lain juga tidak kelihatan sehingga ia selesa dilalui oleh orang ramai yang mengunjungi kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jom Bersih Bukit Bintang 19 pada Sabtu.

Jelas Simon, pihaknya telah mengenal pasti empat zon yang sebelum ini tidak terurus, kotor dan menjijikkan untuk dibersihkan.

“Untuk Zon 1 adalah dari Jalan Bukit Bintang, Jalan Bintang, Jalan Bulan, Jalan Imbi dan Jalan Ismail. Zon 2 adalah di sepanjang Jalan Alor, Lorong Alor, Changkat Tong Shin, Lorong Tong Shin dan Changkat Bukit Bintang.

“Di Zon 3, melibatkan Changkat Bukit Bintang, Jalan Nagasari, Jalan Berangan dan Jalan Asoka serta Zon 4 mengkhususkan Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Lorong Sultan Ismail,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Jualan & Pembangunan Perniagaan dan Operasi Federal Hotel, Oii Lee Ping berkata pihaknya berpuas hati dengan kemajuan kawasan berkenaan namun masih ada segelintir warga kota yang mengambil ringan soal kebersihan.

“Ini adalah usaha berterusan yang digerakkan secara bersama. Pihak Hotel Federal dengan komuniti Bukit Bintang akan menyebarkan kesedaran kepada orang ramai supaya dapat menjaga kebersihan.

“Selain itu, kami juga akan mendidik pengunjung untuk menghargai usaha melalui program gotong-royong seperti ini yang telah dilaksanakan secara bersama sejak 20 tahun lalu sekali gus memupuk sikap yang positif dalam kebersihan alam sekitar,” katanya.

Hadir merasmikan, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas