Berita

PM umum RM5 juta untuk FAM

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 26 Januari 2024 3:16 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menerima
peruntukan RM5 juta bagi mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Ujarnya, pencapaian skuad Harimau Malaya yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak berputus asa ketika mengikat pasukan gergasi Korea Selatan 3-3 pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar, malam tadi adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Pasukan Harimau Malaya malam tadi menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak lusuh walaupun setelah kalah dua pertarungan (tewas di tangan Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E), ia satu perlawanan yang menakjubkan dan hebat.

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka kerana menunjukkan semangat demikian. (Berdasarkan) pertimbangan daripada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerajaan setuju meluluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat menguruskan pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka.

“Peruntukan ini akan disalurkan segera kepada FAM,” katanya kepada pemberita sebelum majlis makan tengah hari di Sri Hartamas hari ini.

Hadir sama Hannah Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut serta pimpinan komuniti setempat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas