Berita

PM ingatkan jemaah menteri, penjawat awam tidak amal budaya selesa

- Diterbit 16 Januari 2023 4:48 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan jemaah menteri dan warga perkhidmatan awam agar tidak mengamalkan budaya selesa sebaliknya bertekad melaksanakan perubahan dalam pentadbiran negara.

katanya, dalam apa jua sistem, perlu ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan kepada negara meskipun sistem yang mantap dan telah bergerak puluhan tahun, mereka harus ada sikap dan kesediaan untuk membawa perubahan.

“Jadi tidak benar kalau kata bahawa kita harus ada budaya selesa, gembira dan memuaskan…itu yang mengigit kita,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari 2023 di Putrajaya hari ini.

Tambah Anwar, penjawat awam juga perlu berani membuat teguran terhadap Kerajaan Perpaduan kini yang didapati melanggar tindakan undang-undang.

“Saya tekankan ialah penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di kementerian kewangan saya melihat banyak keterlanjuran…hendak salahkan pegawai…kalau minit daripada menteri apatah lagi perdana menteri, dia patuh.

“Tetapi saya telah beri pengarahan yang jelas…kalau ada minit daripada PM sekalipun kalau dianggap melanggar peraturan sekurang-kurangnya saya dimaklumkan telebih dahulu…apa lagi kalau dikalangan pegawai-pegawai di pejabat saya..pejabat Timbalan Menteri atau Menteri,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas