Berita

Jom lawati 3 spot menarik di Taman Botani Perdana

TAMAN Botani Perdana terletak bersebelahan terletak bersebelahan Tugu Negara, Taman Burung Kuala Lumpur dan Balai Polis Bukit Aman.
- Diterbit 15 Januari 2023 4:00 AM MYT

TAMAN Botani Perdana atau Lake Gardens yang terletak di Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana adalah satu-satunya taman rekreasi tertua dan terbesar yang wujud sejak 1888 di tengah bandar ibu kota Kuala Lumpur.

Lokasi ini bukan sahaja dihiasi pelbagai koleksi tumbuhtumbuhan malah anda juga akan merasa seakan berada dalam suasana Hutan Hujan Tropika setiap kali berkunjung ke lokasi ini.

Tidak hairanlah ia sentiasa menjadi pilihan orang ramai untuk beriadah bersama insan tersayang termasuklah mengabadikan momen hari bahagia seperti merakam gambar perkahwinan mahupun konvokesyen.

Terletak bersebelahan Tugu Negara, Taman Burung Kuala Lumpur dan Balai Polis Bukit Aman, anda boleh menaiki pengangkutan awam seperti bas, Keretapi Malaysia Berhad laluan Kuala Lumpur (KTM KL) atau stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang berdekatan.

Menariknya, taman ini terbahagi kepada sembilan zon utama merangkumi kawasan pokok hutan, laman perdana, taman-taman bunga dan rekreasi, panggung Aniversari serta pelbagai lagi.

TAMAN BUNGA DAN HERBA

TAMAN Botani Perdana memiliki lebih daripada lima taman termasuk taman herba yang sentiasa menjadi tarikan utama pelancong dalam mahupun luar negara antaranya Taman Sunken, Taman Rusa, Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Herbarium, Taman Herba dan Rempah serta banyak lagi.

Antara salah satu tarikan menarik dan sesuai untuk mencipta gambar kenangan adalah Taman
Sunken yang memiliki keindahan landskap cantik selain dihiasi dengan tumbuhan berwarna yang
digambarkan secara geometri.

Pengunjung juga boleh meneroka taman untuk mempelajari jenis-jenis herba dan rempah serta taman hutan dan rimba di Malaysia di samping melihat 4,000 sampel spesimen herbarium dari taman-taman awam sekitar KL dan hutan simpan semenanjung Malaysia.

KOLEKSI PELBAGAI JENIS POKOK

SELAIN dihiasi dengan bungabungaan, tanaman herba dalam suasana hutan tropika, pengunjung
juga boleh melihat koleksi pelbagai jenis pokok yang ditanam kira-kira 343 spesies tidak termasuk semua tumbuhan renek, pokok palma dan paku pakis.

Antara pokok yang menjadi tumpuan adalah Pokok Ara yang merupakan pokok warisan Taman
Botani Perdana. Kebanyakan pokok yang ditanam sudah pun mencecah usia lebih daripada 100
tahun.

RUMAH PERMAINAN BULUH

RUMAH permainan buluh dibina sepenuhnya daripada buluh dan ia menggabungkan konsep rumah kampung tradisional vernakular yang dilengkapi dengan struktur bumbung panel solar.

Direka oleh seorang arkitek perempuan, Elena Jamil, ia berjaya menarik perhatian pengunjung sebagai astaka atau kawasan rehat sementara selain memberi pendedahan kepada kanak-kanak dan remaja dalam mengekspolarasi ruang dan pembinaan buluh di Kuala Lumpur.

Jelaslah, Taman Botani Perdana memiliki pelbagai kawasan menarik yang boleh dilawati. Untuk maklumat lebih lanjut anda boleh melayari laman web http://www.klbotanicalgarden.gov.my. WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas