Berita

PM harap kejayaan Liek Hou pembakar semangat kepada atlet para lain

- Diterbit 7 November 2022 2:44 PM MYT

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berharap kejayaan Cheah Liek Hou merangkul gelaran perseorangan lelaki ketujuhnya pada Kejohanan Para Badminton Dunia menjadi pembakar semangat kepada atlet para yang lain untuk berjaya dalam bidang dan acara sukan masing-masing.

Sambil mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada jaguh badminton para negara itu, Perdana Menteri juga mahu atlet para yang lain dapat bersama membuktikan bahawa kekurangan mereka bukannya satu halangan untuk berjaya dalam hidup.

Beliau berkata demikian dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, atlet berusia 34 tahun itu merampas kembali gelaran perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) daripada pesaing utamanya Dheva Anrimusthi dari Indonesia dengan kemenangan 21-14, 21-12 di Yoyogi National Gymnasium di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, Liek Hou dan gandingannya Mohamad Faris Ahmad Azri tewas 13-21, 12-21 kepada Dheva-Hafizh Briliansyah Prawiranegara dalam aksi final beregu lelaki sekali gus gagal meraih gelaran keenamnya untuk acara tersebut.

Liek Hou pernah muncul juara perseorangan pada 2005, 2007, 2011, 2013, 2015 dan 2017 manakala bagi beregu, beliau meraih kejuaraan pada 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.

Beliau tewas pada pusingan separuh akhir perseorangan lelaki kepada Dheva pada edisi 2019. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas