Berita

Ekonomi Indonesia berkembang pada Q3 hasil peningkatan eksport komoditi

- Diterbit 7 November 2022 2:49 PM MYT

EKONOMI Indonesia berkembang 5.72 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini, disokong oleh peningkatan eksport komoditi tertentu, lapor Xinhua memetik Perangkaan Indonesia (BPS) pada Isnin.

Ketua BPS Margo Yuwono berkata angka itu lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi suku kedua sebanyak 5.44 peratus dan melepasi 3.51 peratus bagi tempoh Julai-September tahun lepas.

“Ini menunjukkan ekonomi Indonesia pulih secara berterusan dan ekonomi juga semakin kukuh,” kata Yuwono pada sidang media secara maya.

Imbangan perdagangan Indonesia meningkat 12.58 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga disumbangkan oleh peningkatan eksport beberapa komoditi, termasuk arang batu, minyak sawit dan keluli.

Perbelanjaan yang lebih besar untuk program perlindungan sosial di tengah-tengah kenaikan harga global juga berjaya mengekalkan kuasa beli rakyat Indonesia, kata Yuwono.

Pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga itu juga sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 5.7 peratus dan 5.5 peratus unjuran oleh bank pusat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas