Berita

Plus komited jaga keselamatan pengguna sepanjang PKP

- Diterbit 14 Januari 2021 8:20 AM MYT

SUSULAN pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menitikberatkan tahap keselamatan pengguna yang perlu melakukan perjalanan menggunakan lebuh raya kendaliannya untuk pengangkutan barangan penting atau menjalankan perniagaan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata perkhidmatan kritikal lebuh raya seperti unit peronda barisan hadapan, PLUSRonda akan melakukan rondaan 24 jam untuk memastikan keselamatan di lebuh raya, selain memberikan bantuan kepada pelanggan apabila diperlukan.

“Sekiranya berlaku kecemasan di lebuh raya, pelanggan boleh mendapatkan bantuan anggota PLUSRonda dengan menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman turut mengingatkan pelanggan yang perlu melakukan perjalanan di lebuh raya bagi tujuan penting supaya dapat merancang perjalanan dengan baik dan memastikan kad Touch ‘n Go dan e-Wallet mereka mempunyai baki mencukupi untuk mengurangkan gangguan dan keperluan interaksi secara fizikal di plaza tol.

Beliau turut menasihatkan pelanggan untuk mematuhi SOP keselamatan seperti memakai pelitup muka, mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter apabila beratur untuk membeli makanan atau ketika menggunakan kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang tempoh PKP.

Pelanggan juga boleh membuat prapesanan makanan menerusi aplikasi PLUS daripada gerai di R&R terpilih, katanya.

Beliau berkata semua premis di R&R, hentian sebelah dan hentian sebelah plaza tol yang terletak di enam negeri dikenakan PKP sehingga 26 Jan ini iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor masih dibuka dan beroperasi bermula dari jam 6 pagi hingga 8 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara dibungkus sahaja.

Ini berikutan ruang makan di medan selera di R&R yang berada di negeri-negeri yang diletakkan di bawah PKP ditutup untuk mengelak orang ramai berkumpul serentak pada satu-satu masa, katanya.

Azman berkata waktu operasi bagi R&R dan hentian sebelah di negeri-negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu pula akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Ruang makan di medan selera dibuka dan pelanggan dibenar untuk menikmati makanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya juga dibuka seperti biasa sepanjang 24 jam, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas