Berita

PKP: P. Pinang lanjut kempen pemilikan rumah hingga akhir tahun

- Diterbit 14 Januari 2021 8:32 AM MYT

KERAJAAN negeri Pulau Pinang dalam perancangan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga hujung tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos ini.

Exco Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata langkah itu diambil untuk meringankan beban pembeli rumah baharu ketika dalam kegawatan, sekali gus dapat terus menjana ekonomi dalam sektor hartanah.

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai hampir 3,000 unit rumah yang masih belum terjual dengan nilai RM2.9 bilion, namun daripada angka itu, cuma 0.8 peratus rumah mampu milik bawah harga RM300,000 belum terjual. Kita akan cuba bantu sektor tersebut kerana ia penting dalam menjamin aliran tunai dalam pasaran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

HOC diperkenalkan untuk memberi insentif kepada pembeli rumah baharu iaitu pengecualian duti setem dan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus bagi harga jualan daripada pemaju hartanah bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan warga tempatan.

Jagdeep berkata kerajaan negeri telah meluluskan hampir 4,000 permohonan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik.

Katanya, beliau komited untuk terus membina bekalan rumah mampu milik dengan harga bermula RM42,000 bagi rumah kos rendah; RM72,500 bagi rumah kos sederhana rendah; dan pelbagai rumah mampu milik yang berharga sehingga RM300,000. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas