Berita

Pemeriksaan awam Projek RTS Link bermula esok secara maya

- Diterbit 14 Januari 2021 8:12 AM MYT

PEMERIKSAAN awam untuk Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di antara Johor Bahru dan Singapura akan bermula esok hingga 15 April depan secara maya.

Menurut kenyataan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini, ini seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di Kuala Lumpur dan Johor serta beberapa negeri lain, mulai semalam.

Semua dokumen dan bahan untuk pemeriksaan awam tersebut akan disediakan dalam talian di laman web MRT Corp di www.mymrt.com.my.

“Pada mulanya, MRT Corp berhasrat membuka dua lokasi fizikal pemeriksaan awam iaitu di ibu pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kuala Lumpur dan KOMTAR JBCC di Johor Bahru.

“Walaupun lokasi ini tidak dapat dibuka buat masa ini, MRT Corp akan membuka lokasi-lokasi tersebut kepada orang ramai setelah PKP tamat. MRT Corp akan membuat pengumuman apabila lokasi dibuka semula,” demikian menurut kenyataan itu.

MRT Corp menjelaskan pemeriksaan awam selama tiga bulan wajib dijalankan di bawah Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Semasa pemeriksaan awam dijalankan, maklumat mengenai Projek RTS Link seperti pelan dan profil jajaran, pelan konteks tapak stesen, kereta api dan butiran mengenai tanah yang mungkin diambil untuk projek ini akan disediakan untuk diteliti oleh orang ramai.

“Maklum balas atau bantahan mesti dibuat antara 15 Jan dan 15 April 2021 dengan menggunakan Borang Bantahan Awam dalam talian yang juga disediakan dalam laman web MRT Corp bersama dengan bahan pemeriksaan awam,” menurut MRT Corp.

Semua maklum balas dan bantahan akan dikemukakan kepada APAD. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pemeriksaan awam boleh dimajukan kepada MRT Corp dengan menghubungi +6017-3438890 atau menghantar e-mel ke [email protected].

RTS Link adalah perkhidmatan tren ulang-alik di antara Johor Bahru dan Woodlands, Singapura. Laluan itu sepanjang 4 kilometer (km) dengan 2.7 km berada di Malaysia dan 1.3 km di Singapura.

Laluan tersebut akan mempunyai dua stesen iaitu di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura. Apabila siap, laluan itu akan menjadi lintasan sempadan antarabangsa di antara Malaysia dan Singapura yang selesa dan efisien.

Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MRT Corp, dilantik sebagai syarikat infrastruktur awam Malaysia (InfraCo) untuk projek tersebut dengan kerja-kerja infrastruktur awam laluan dijangka siap pada 2024 dan perkhidmatan tren dijangka mula pada akhir 2026. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas