Utama

PKOB Kampung Bukit Changgang tumpu operasi pembersihan, sedia makanan kering untuk mangsa banjir

SETIAUSAHA Bahagian (Bahagian Dasar Dan Perancangan Strategik) KWP, Nor Shah Mohamed membantu wakil penduduk Bukit Changgang mendapatkan bantuan makanan di PKOB Bukit Changgang.
- Diterbit 24 Disember 2021 5:04 AM MYT

MUSIBAH yang menimpa penduduk di Selangor ekoran ‘banjir termenung’ mendapat perhatian dan simpati yang mendalam daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Lanjutan daripada itu, beliau telah mengarahkan pengurusan kanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) untuk membentuk beberapa pasukanyang dikenali Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) bagi membantu penduduk di Selangor yang terjejas.

Komandan PKOB Kampung Bukit Changgang, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, peringkat awala operasi ini bermula pada 21 Disember lalu dan ia berfungsi sepenuhnya pada 22 Disember sehingga kini.

“Kewujudan kita di sini adalah untuk membantu menyediakan bahan makanan kering untuk penduduk dan mereka hanya perlu datang untuk mendapatkan bantuan tanpa melalui birokrasi.

“Selain itu, atas keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan, PKOB ini diwujudkan adalah untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan memberikan pembersihan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya kepada Wilayahku ketika meninjau operasi di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan KWP itu berkata, kira-kira 50 anggota dari KWP, DBKL dan PPj terlibat dalam operasi PKOB Kampung Bukit Changgang ini setiap hari dengan tugasan tertentu.

“Kita ada penggiliran dua syif iaitu dari pukul 8.30 hingga pukul 1 petang dan syif ke dua dari pukul 1.30 hingga 6 petang.

“Agihan kerja di lapangan ini adalah berkaitan dengan pembersihan dan kutipan sampah di kawasan tumpuan orang ramai, kemudahan awam seperti dewan orang ramai, masjid, surau serta rumah ibadat yang lain.

“Sebanyak lima buah lori ‘RORO’ disediakan untuk membantu melicinkan operasi di sini dan sampah tersebut akan dihantar ke kawasan pelupusan sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL),” katanya.

Kata Che Roslan, mengikut ramalan kaji cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), jangkaan cuaca yang tidak menentu ini sehingga 27 Disember ini.

“Keberadaan kita di sini tidak ada tempoh tertentu dan operasi ini akan berterusan sehingga ianya selesai.

“Laporan operasi ini turut akan dikemukakan kepada menteri untuk mendapatkan arahan selanjutnya sama ada perlu kekal sehingga selesai atau berpindah ke kawasan lain atau pulang ke jabatan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, di antara fokus utama pasukannya ketika ini adalah untuk menurunkan paras air yang masih bertakung untuk dialirkan ke Sungai Langat.

“Pada peringkat awal, paras air di Sungai Langat ini sama dengan permukaan jalan raya yang menyebabkan banjir termenung di kawasan ini.

“Bagi tujuan itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan menyediakan pam air untuk mempercepatkan aliran keluar air.

“Melalui agensi DBKL dan PPj, kita juga menyediakan pam-pam air dengan kapasiti yang besar disamping pam-pam kecil yang sedia ada,” katanya.

Che Roslan memberitahu, anggota yang bertugas di PKOB Kampung Bukit Changgang ini amat bersemangat dan sedia berkorban masa dan tenaga meskipun berhadapan dengan situasi yang mencabar mental dan fizikal.

“Ada dalam kalangan anggota ini yang tidur di PKOB ini dan seawal pukul 8.30 pagi mereka sudah bersedia untuk sesi ‘roll call‘ sebelum agihan tugas dilaksanakan.

“Mereka juga menyanjung tinggi aspirasi Menteri Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan operasi ini dengan bersungguh-sungguh sekali gus memperlihatkan keupayaan pasukan KWP dan agensi dalam berkhidmat kepada mangsa banjir,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas