Utama

Kampung Sungai Baru: 11 lagi ‘u-turn

ABDUL Hadi beramah mesra dengan pemilik rumah teres dan flat Kampung Sungai Baru yang tidak sabar menantikan pembangunan semula dilakukan pada tahun hadapan. - Gambar fail
- Diterbit 24 Disember 2021 4:42 AM MYT

SELEPAS lima pemilik unit rumah flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kampung Sungai Baru, Kampung Baru Kuala Lumpur mengambil langkah ‘u-turn’, kini 11 individu lagi ikut serta.

Difahamkan, kesemua mereka menemui pemaju bagi membincangkan isu pampasan dan tawaran jika ingin menetap di kawasan berkenaan selepas dimaklumkan nilai pampasan oleh mahkamah.

Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad berkata, pada masa ini pihaknya merekodkan 16 pemilik yang ingin ‘bersama-sama’ dalam pembangunan semula dan kekal berada di Kampung Sungai Baru.

“Seramai 16 orang sudah menyatakan hasrat mereka untuk bersama pemaju membangunkan lokasi berkenaan.

“Namun tawaran hanya boleh dibuat selepas mereka menerima pampasan daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Pada 10 Disember lalu, Wilayahku melaporkan lima daripada 38 pemilik rumah flat PKNS Kampung Sungai Baru mengambil langkah ‘u-turn’ selepas perbicaraan mahkamah, berikutan tawaran pampasan hanyalah sekitar RM250,000 hingga RM300,000.

Susulan itu, pemaju Ritzy Gloss Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Suez Domain Sdn Bhd menawarkan ‘peluang kedua’ menerusi Pakej Harmoni.

Pakej berkenaan merangkumi sebuah unit pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi (kps) dengan nilai RM300,000 dan ia turut dibangunkan di Kampung Sungai Baru.

Selain itu, kediaman berkenaan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air beserta satu petak tempat letak kenderaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas