Berita

PERTIWI dilancarkan, aduan terus kepada Menteri Wilayah Persekutuan

ANNUAR menunjukkan nombor telefon saluran PERTIWI
- Diterbit 19 April 2020 9:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan warga kota mengemukakan cadangan, aduan mahu pun pertanyaan terus kepada Tan Sri TPr. Annuar Musa, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan saluran khusus yang dikenali sebagai PERTIWI (Talian Pertanyaan dan Aduan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan).

Saluran yang mula beroperasi hari ini, hanya menggunakan aplikasi WhatsApp sekali gus memudahkan sesiapa sahaja berkomunikasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan atau Timbalan Menterinya, Dato’ Sri Dr. Santara.

Menurut Annuar, Pertiwi dibangunkan sebagai inisiatif baharu dalam membolehkan komunikasi dua hala antara rakyat dengan kementerian termasuk agensi di bawahnya.

“Pertiwi membolehkan saya dapat tahu, dengar atau sebarang maklumat sampai ke pengetahuan saya dan agensi KWP tentang rakyat di luar sana.

“Ia adalah satu kaedah yang mana ada dua talian yang warga wilayah atau publik boleh WhatsApp pertanyaan atau cadangan, ini seboleh-bolehnya berkaitan dengan pentadbiran agensi di bawah KWP.

“Keutamaan saya adalah kebajikan dan berkaitan orang ramai, aduan dan sebagainya. PERTIWI membolehkan saya menyelami denyutan nadi warga Wilayah Persekutuan,” katanya
dalam sidang Live Facebook hari ini.

Jelas Annuar, orang ramai boleh mengemukakan cadangan (WhatsApp) bersama butiran peribadi di talian 013-680 6666 atau 013-688 7777.

Ini kerana katanya, butiran tersebut perlu bagi mengelakkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kemudahan yang disediakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas