Berita

Penguatkuasaan PKP tidak pilih kasih

ANGGOTA polis membuat kawalan di kawasan di bawah PKPD di Menara City One, Kuala Lumpur - Gambar Polis KL
- Diterbit 19 April 2020 10:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Tiada pilih kasih penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap mana-mana individu termasuk pemimpin di negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua rakyat negara ini tertakluk kepada prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Wakil rakyat merupakan kumpulan individu dibenarkan bertugas seperti jabatan kerajaan dengan memfokuskan menjaga kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, masih tertakluk kepada SOP iaitu tidak boleh mengadakan perjumpaan, bantuan dan jamuan secara besar-besaran. Sekiranya hendak keluar pun tidak perlu beramai-ramai cukup hanya dua atau tiga mengikuti mereka bagi menghantar bantuan contohnya.

“Sebagaimana kita tetapkan adalah sebaiknya menggunakan petugas barisan hadapan yang diletakkan di kawasan masing-masing” katanya.

Beliau menjelaskan SOP PKP telah diserahkan kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas tindakan difahamkan seorang timbalan menteri yang melakukan lawatan di sebuah maahad tahfiz dan menghadiri jamuan, Ismai Sabri menegaskan, polis telah memanggil wakil rakyat terbabit dan pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan seterusnya.

“Tiada siapa terlepas tindakan undang-undang sekiranya tidak patuh pada arahan PKP.

” Jadi, tanggapan wujudnya pendekatan berbeza kepada setiap pesalah PKP adalah tidak betul,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas