Rencana

Personaliti kunci kejayaan alam pekerjaan

Kemahiran interpersonal juga penting dalam menjalin hubungan baik sesama pekerja. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Januari 2024 4:00 PM MYT

DEWASA ini, pengangguran merupakan isu utama bagi mana-mana graduan. Harapan besar ibu bapa menghantar anak mereka ke menara gading agar dapat merubah nasib keluarga mereka kepada keadaan yang lebih baik. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 3.5 peratus.

Justeru, personaliti, sikap serta kemahiran merupakan kunci kepada alam pekerjaan. Ini kerana majikan akan memilih pekerja berdasarkan kepada personaliti mereka yang terserlah, sikap yang baik, kemahiran di samping keputusan pengajian yang memberangsangkan.

Ramai yang tersilap antara sikap dan personaliti. Bagi mereka itu adalah dua perkara yang sama. Mengikut model personaliti kesepadanan pekerjaan Holland, personaliti seseorang perlu memadani sesuatu pekerjaan. Barulah seseorang pekerja boleh bertahan dalam pekerjaannya. Justeru, seseorang perlu memilih pekerjaan yang sesuai dengan personalitinya.

Menurut model ini, terdapat enam jenis personaliti iaitu realistik, investigatif, artistik, sosial, keusahawanan dan konvensional. Seseorang yang realistik adalah seorang yang menyukai aktiviti fizikal yang memerlukan kekuatan, koordinasi dan kemahiran. Personaliti realistik sesuai dengan jawatan arkitek, petani dan jurutera.

Manakala personaliti penyelidik adalah seorang yang suka bekerja dengan teori, maklumat dan kefahaman. Contoh profesion yang sesuai dengan personaliti ini ialah seperti peguam, profesor dan pakar matematik. Personaliti artistik adalah seorang yang kreatif, imaginatif dan idealistik. Contoh pekerjaan yang sesuai dengan personaliti ini ialah artis, pemain muzik dan penulis.

Seseorang yang memiliki personaliti sosial pula suka membantu orang lain dari segi menyembuh dan membangun mereka. Contoh profesion yang sesuai dengan personaliti ini ialah kaunselor, doktor dan guru. Seseorang yang memiliki personaliti keusahawanan adalah seorang yang gemar kepada persekitaran yang kompetitif, pandai mempengaruhi orang lain, energetik dan yakin kepada diri sendiri. Contoh pekerjaan yang sesuai dengan personaliti ini ialah pengurusan, pemasaran dan jurujual.

Jenis personaliti terakhir adalah personaliti konvensional di mana orang yang memiliki personaliti ini gemar kepada membuat keputusan berlandaskan kepada peraturan dan merupakan seorang yang efisien dan praktikal. Contoh jawatan yang sesuai dengan personaliti ini ialah akauntan, kerani dan editor.

Sikap pula terbahagi kepada dua jenis iaitu positif dan negatif. Sikap positif yang dikehendaki oleh majikan­ialah seperti keinginan untuk belajar, rajin, bertanggungjawab, berdisiplin, inovatif dan kreatif serta telus. Manakala kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan adalah seperti pengurusan masa, kerja pasukan, penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi, pembuatan keputusan dan kemahiran organisasi.

Menurut tiga organisasi yang ditemu bual, sebuah organisasi otomobil terbesar di negara ini memilih keupayaan untuk melakukan pekerjaan sebagai kemahiran pekerjaan graduan yang paling dituntut oleh organisasi mereka. Menurut mereka, kemahiran ini penting bagi memastikan kereta keluaran mereka laku dijual kepada orang ramai. Manakala sebuah organisasi monopoli di negara ini mengatakan ekstravasi sebagai personaliti yang digemari oleh mereka.

Ekstravasi merupakan kemahiran komunikasi. Organisasi ini juga turut bersetuju dengan ketrampilan sebagai salah satu daripada faktor pengambilan pekerjaan. Begitu juga dengan sebuah organisasi PKS (perindustrian kecil sederhana) juga turut bersetuju dengan ketrampilan sebagai kemahiran pekerjaan yang paling dilihat oleh mereka.

Menurut mereka, ramai graduan yang tidak pandai memilih pakaian yang sesuai untuk ke sesi temu bual. Namun begitu, bagi mereka, tidak perlu untuk graduan ‘overdress’, cukup sekadar berpakaian formal dan sopan untuk ditemu bual.

Pemakaian yang baik mempunyai kaitan dengan disiplin. Ia juga menggambarkan personaliti seseorang graduan. Justeru, graduan perlu teliti dalam membuat perancangan untuk ke sesi temu bual. Buatlah perancangan untuk berjaya dan bukan untuk gagal. Seterusnya, ketiga-tiga organisasi ini juga bersetuju dengan­kemahiran interpersonal.

Kemahiran interpersonal juga merupakan kemahiran komunikasi perseorangan yang penting dalam menjalin hubungan baik sesama pekerja. Kemahiran ini mempunyai kaitan dengan kerja pasukan yang mana merupakan kemahiran pekerjaan. Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi harus menerapkan personaliti positif dan sikap baik ini serta kemahiran pekerjaan dalam silibus pengajaran mereka sejajar dengan objektif untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka bergraduasi.

Penulis Profesor Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas