Berita

Perbelanjaan pertahanan 1.5 peratus daripada KDNK mudahkan perolehan aset – Hishammuddin

- Diterbit 14 September 2022 2:00 PM MYT

PERMOHONAN perbelanjaan pertahanan negara sebanyak 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam Belanjawan 2023 akan memudahkan perancangan untuk perolehan aset, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung sepenuhnya kepada keadaan ekonomi negara dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan agensi bertanggungjawab untuk melihat kepada jumlah yang ada secara menyeluruh bagi pembangunan negara.

“Cuma satu perkara, ada hujah peruntukan diminta Kementerian Pertahanan (MINDEF) adalah besar tetapi pulangan kepada ekonomi negara pula tidak seberapa,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Desa Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata hujah berkenaan diharap dapat ditepis melalui Dasar Industri Pertahanan yang akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membuktikan kementerian mampu membawa pulangan kepada ekonomi negara.

“Menerusi dasar berkenaan, kami akan mampu bawa pulangan ekonomi bagi membantu kita berhujah dengan kementerian dan agensi kewangan terlibat sekiranya apa yang diperuntukkan kepada MINDEF bukanlah sia-sia.

“Selain menjaga kestabilan, keselamatan dan kedaulatan negara, kita juga mampu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Hishammuddin mengulas mengenai kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam bahawa peruntukan bagi tujuan pertahanan negara perlu dinaikkan kepada 1.5 peratus daripada KDNK berbanding satu peratus yang diterima menerusi belanjawan tahun ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas