Berita

Penonton setia TV AlHijrah berpeluang pulang beraya secara percuma

|KETUA Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah
- Diterbit 3 April 2023 2:37 AM MYT

ISTIMEWA buat penonton setia stesen TV AlHijrah apabila mereka berpeluang pulang ke kampung secara percuma sempena hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Inisiatif menyediakan pengangkutan bas secara percuma anjuran TV AlHijrah ini adalah bagi memudahkan urusan sebilangan rakyat untuk pulang beraya.

Empat buah bas milik Mara Liner Sdn Bhd yang bekerjasama dengan TV AlHijrah akan membawa 180 penonton setia pulang beraya ke kampung secara percuma pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan melalui rangkaian jalan raya di utara, selatan dan timur iaitu Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu untuk balik kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris berkata, perjalanan pertama AlHijrah On The Bus akan berlepas pada Jumaat, 14 April ke Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Bagaimanapun kami belum putuskan apa pengisian untuk penumpang bas sepanjang perjalanan mungkin taranum dan sebagainya.

“Namun kami berharap ada selebriti atau pempengaruh yang ikut sekali bersama, tujuan awal AlHijrah On Bus adalah memperkenalkan jenama ini di pelosok kampung.

“Buat promo siapa yang hendak balik hantar komen kepada AlHijrah, kita akan temubual sikit tengok status kehidupannya kerana fokus kami adalah mereka yang tidak berkemampuan, ” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris turut menaiki bas yang bakal membawa penonton setia balik kampung secara percuma

Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada program itu, pihak media dan selebriti turut diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square berkenaan.

EMPAT buah bas milik Mara Liner Sdn Bhd yang bekerjasama dengan TV AlHijrah akan membawa 180 penonton setia pulang beraya ke kampung secara percuma pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut dilancarkan program CSR, Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah menggunakan khidmat 15 penunggang motosikal yang akan buat edaran sebanyak seribu bungkusan bubur lambuk di lima lokasi tumpuan ramai Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara lokasi dikenalpasti adalah Hospital Besar Kuala Lumpur, stesen LRT, UiTM Shah Alam, stesen bas Kajang dan Masjid Usman Zaid.

SUDIRMAN dan Farhana antara rakan media yang diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan 17 rancangan baharu dan istimewa genre dokumentari, bual bicara, masakan, kerohanian, drama, telefilem, hiburan Islamik dan filem.

Keseluruhan 29 jam penerbitan diperuntukkan untuk Ramadan antaranya adalah Peristiwa Ramadan, Rehlah Roh Haramain, Khatam al Quran Perdana, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, Cinta Ilmu Qiam, Kerusi Lipat, Ihya Ramadan, Camca Ramadan, Camca Viral, Assalamualaikum Sahur, Sembang Moreh dan Matahati Madani. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas