Berita

P­eniaga sokong usaha DBKL perangi ‘rambo’

Kredit foto: Jabatan Penguatkuasa DBKL
- Diterbit 26 Februari 2024 2:33 PM MYT

TINDAKAN berani peniaga ‘rambo’ menjalankan perniagaan di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur membawa padah apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan bertindak mempertingkatkan pemantauan dan tindakan.

Namun seakan sudah lali terdapat segelintir yang masih berdegil biarpun telah ditegur dan disita barangan jualan mereka. Keengganan memberikan kerjasama kepada pihak DBKL mengundang masalah kepada pihak lain.

Menurut salah seorang peniaga yang memiliki permit DBKL, Mohd Shahrul Yamin berkata, tindakan DBKL bersama agensi kerajaan terlibat harus dipuji dalam mengurangkan kegiatan peniaga ’rambo’ tersebut.

“Ia wajar dilaksana DBKL memandangkan masih terdapat segelintir golongan tersebut yang berani menjalankan perniagaan terutama di kawasan parkir sehingga menimbulkan amarah dalam kalangan pengunjung taman tasik.

“Sebelum kawasan ini dinaik taraf dari segi fasiliti dan keindahan, kesemua para peniaga berlesen dibenarkan untuk berniaga dalam perkarangan Tasik Titiwangsa namun apabila ia dimulakan, kami dipindahkan ke tempat ini untuk meneruskan aktiviti perniagaan.

“Walau bagaimanapun, sebaik berpindah kami (peniaga) mendapati terdapat lambakan peniaga rambo yang bertindak berani memacakkan khemah atau berniaga secara secara car boot sale. Bila ditegur oleh pihak penguat kuasa, mereka memberontak.

“Ada yang mempersoalkan, itu merupakan satu-satunya cara dan lokasi strategik untuk berniaga,” ujar Mohd Shahrul lagi.

Ekoran daripada situasi itu, ia sekali gus telah menyebabkan berlakunya kekurangan parkir kepada pengunjung memandangkan lokasi tersebut merupakan tumpuan pelancong terutama pada hujung minggu.

“Di sini masalah utama adalah parkir jadi, apabila wujudnya lambakan peniaga ia menjejaskan ruangan parkir buat pengunjung. Jadi, saya menyokong tindakan yang dilaksanakan serta dalam masa saya yakin DBKL mempunyai rancangan yang bernas untuk mengatasinya,” katanya yang sudah 13 tahun menjalankan perniagaan di taman tasik itu.

Berkongsi pandangan sama, Mohd Izwan Idrus turut berharap pihak DBKL menyediakan lokasi khusus kepada para peniaga di samping berkongsi pelan lokasi-lokasi yang dibenarkan untuk berniaga.

“Isu peniaga ‘rambo’ di Taman Tasik Titiwangsa ini sudah menjadi perkara biasa namun langkah yang mungkin boleh diambil dengan menempatkan kesemua peniaga berlesen di satu kawasan, ia bukan sahaja memudahkan pihak DBKL untuk memantau malah pihaknya dapat mengenal pasti berapa banyak lambakan peniaga rambo di taman tasik ini.

Sebelum ini, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan telah melaksanakan satu Operasi Tindakan Khas Penjaja Siri 3/2024 di Taman Tasik Titiwangsa pada Sabtu (17 Februari).

Operasi itu melibatkan kerjasama Pihak Pejabat Cawangan Setiawangsa, Pejabat Cawangan Titiwangsa, Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi termasuk Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL.

Menerusi tindakan itu juga, sembilan kes tindakan sitaan, pindah halangan dan barangan perniagaan telah diambil selain 111 peralatan sewaan perniagaan dipindahkan terdiri daripada pelbagai jenis basikal, skuter elektrik (tut-tut) dan lain-lain peralatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas