Berita

Pengundian awal PRK Slim hari ini

TANJUNG MALIM, 25 Ogos -- Pegawai dan anggota polis menunggu giliran untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim hari ini.
- Diterbit 25 Ogos 2020 4:47 AM MYT

SATU saluran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini mula dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan 267 pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pusat pengundian awal itu dibuka sehingga 5.30 petang.

Sepanjang proses pengundian awal, pengundi diminta mematuhi panduan pencegahan COVID-19 seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjalani pemeriksaan suhu badan.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim, dan pengiraannya dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang belum didaftar secara rasmi dan bekas guru S.Santharakesaran. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas