Berita

Penglibatan bersama pemilik dan pewaris diteruskan

KAMPONG Bharu terus ketinggalan dalam pembangunan kawasan sekitar
- Diterbit 12 Januari 2024 8:30 AM MYT

PENGLIBATAN bersama pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu akan diteruskan bagi mencari penyelasaian dalam meneruskan agenda membangunkan semula kawasan ikonik penempatan orang Melayu itu.

Bercakap dalam wawancara eksklusif bersama Wilayahku baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata isu pembangunan kawasan tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan perlu diselesaikan kerana suasana di sekitar kawasan itu pesat membangun sekali gus menyebabkan ia tertinggal.

“Kawasan Kampong Bharu ini merupakan penempatan orang Melayu di tengah pusat bandar Kuala Lumpur dan dengan sensitiviti ini, ia perlu dibangunkan selari dengan kawasan sekelilingnya.

“Cuma ada kekangan tertentu yang melibatkan kawasan rizab Melayu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kawasan itu dan setakat maklumat yang diterima daripada agensi yang bertanggungjawab, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), sudah 88 peratus pemilik dan pewaris tanah di Kampong Bharu yang sudah bersetuju untuk membangunkan kawasan itu,” katanya.

Jelas Zaliha, beliau akan bertemu baki 12 peratus pemilik tanah untuk memahami kehendak mereka dan beliau yakin dengan pendekatan yang sedikit berbeza akhirnya apa yang diharapkan pembangunan Kampong Bharu dapat direalisasikan.

Dalam mencari jalan penyelesaian berhubung masalah berkenaan, Zaliha berkata setiap pemimpin atau menteri yang dipertanggungjawabkan mempunyai cara yang berbeza untuk menyelesaikan masalah pembangunan di kawasan tersebut.

“Saya tidak menolak apa yang telah dilakukan oleh menteri-menteri sebelum ini jadi bagi saya, masih terlalu awal untuk memberikan sebarang keputusan kerana saya perlu menemui sendiri penduduk dan pewaris tanah,” katanya.

Beliau berkata mungkin pendekatan yang dimulakan oleh bekas menteri itu boleh dilaksanakan atau berkemungkinan pihaknya akan melakukan kajian dan penilaian untuk menawarkan pendekatan yang baharu dan formula menang-menang antara penduduk dan kerajaan.

“Bagi saya, kawasan-kawasan yang telah diwartakan untuk dibangunkan itu ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera dan yang itu kita kena tengok dan beri keutamaan mengenainya.

“Jika kita hendak membangunkan kesemua sekali gus, kita perlu lihat banyak faktor, jadi mana yang telah bersetuju dan ada di dalam perancangan, saya lihat ia akan diberi keutamaan di mana perlu menyelesaikan isu-isu berbangkit sebelum memudahkan pembangunan berkenaan. Saya juga akan meneliti secara langsung pembangunan ini mengikut parcel-parcel atau mana yang lebih baik,” katanya.

Ujar Zaliha, pendekatan yang terbaik adalah pihaknya perlu menyelesaikan mana-mana kawasan yang telah dipersetujui dan dibangunkan, kemudian diikuti dengan kawasan lain.

“Berkenaan dengan tempoh masa pula, ia bergantung kepada kekuatan ekonomi dan birokrasi tertentu yang perlu dilalui sebelum ia diberi kebenaran merancang pembangunan namun sebelum kesemua proses tersebut dilalui, ia hanya boleh didapati dengan kestabilan politik,” ujarnya.

Tambah Zaliha, beliau bercadang untuk melakukan program townhall dengan melibatkan pihak berkepentingan iaitu pemilik dan pewaris tanah.

“Memang ada perancangan untuk bertemu dengan mereka dan mendengar sendiri pandangan dan cadangan yang akan disampaikan dan ia mungkin dilaksanakan pada Febuari ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas