Berita

Pengendali feri di Labuan sediakan perjalanan setiap jam sempena Krismas

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Disember 2023 1:50 PM MYT

PENGENDALI feri Labuan Mainland Link Sdn Bhd (LML) bagi laluan Labuan – Menumbok – Labuan akan menyediakan perjalanan setiap jam bagi menampung penumpang yang dijangka meningkat bersempena dengan sambutan Krismas esok.

Syarikat pengurusan feri itu mengendalikan empat feri iaitu Putrajaya 1, Goodwill Star, Kimanis 2 dan Joy Star.

Feri utama, Putrajaya 1 mempunyai kapasiti 85 kenderaan dan 500 penumpang, Goodwill Star membawa 85 kenderaan dan 420 penumpang, manakala Kimanis 1 dan Joy Star masing-masing dapat menampung 55 kenderaan dan 220 penumpang.

Pengerusi LML, Datuk Chin Hon Vui berkata syarikat pengurusan tiket untuk feri berkenaan iaitu Labuan Point Enterprise telah melakukan persediaan rapi untuk menerima ribuan rakyat Sabah yang ingin pulang ke kampung halaman mereka.

Beliau berkata Labuan Point Enterprise membuka kaunter penjualan tiket balik kampung bersempena dengan perayaan Krismas sebulan lepas dan turut memohon perjalanan tambahan daripada Jabatan Laut Labuan.

“Kami menyediakan sekurang-kurangnya enam hingga sembilan perjalanan setiap hari dari 7.30 pagi hingga 8 malam bagi laluan Labuan – Menumbok – Labuan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas